[size=0.8]Oleh Hamzah Osman - November 1, 2021 @ 6:20pm[email protected]
Ahmad Shahfikri (dua dari kanan) memantau anggotanya memeriksa aset dan peralatan menyelamat sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar di Langkawi. NSTP/HAMZAH OSMAN
LANGKAWI: Pengunjung Pantai Chenang dan Tengah di sini, diminta sentiasa berwaspada berikutan fenomena air pasang besar dijangka melanda pulau peranginan itu, Jumaat ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus, berkata fenomena air pasang besar itu bakal menyebabkan paras laut mencecah ketinggian sehingga 2.6 meter.
"Justeru, semua pengunjung dinasihat sentiasa mematuhi arahan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas sekitar kawasan pantai bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
"Sekiranya petugas menaikkan bendera merah, tiada sebarang aktiviti air dibenarkan dilakukan di pantai kerana ia boleh mengundang risiko," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Shahfikri berkata, kedua-dua pantai itu memiliki tiga menara penyelamat dengan seramai 24 anggota APM bertugas pada suatu masa.
"Setiap menara menempatkan lapan anggota yang fokus kepada tugas pemantauan, khidmat nasihat dan kerja menyelamat jika berlaku sebarang kes kecemasan membabitkan pengunjung.
"Tugas mereka akan dibantu pelbagai aset khususnya bot dan peralatan menyelamat bermula jam 9 pagi hingga 7 malam setiap hari," katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh dua minggu ini, kedua-dua pantai popular itu dijangka menerima peningkatan pengunjung susulan cuti umum sambutan Deepavali Khamis ini dan cuti hujung minggu lain.