Bukit Mertajam: Dua pendaki ditemui selamat selepas sesat kira-kira enam jam ketika mendaki di Taman Rimba Cherok Tokun di sini, tengah hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.09 tengah hari daripada seorang daripada mangsa itu.
"Mangsa memaklumkan mereka gagal menjumpai jalan keluar ketika melakukan aktiviti pendakian.
"Mangsa kemudiannya menghantar lokasi mereka melalui aplikasi WhatsApp kepada komander operasi," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dan Penanti bergegas ke lokasi bagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat melalui laluan pendakian berpandukan lokasi yang dihantar oleh mangsa.
"Kedua mangsa lelaki dan perempuan berusia 20 tahun berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan dibawa turun ke kaki bukit pada 7.30 malam tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya.