[size=0.8]Oleh Nor Azizah Mokhtar - November 17, 2021 @ 12:17am[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/hwwkkk17_1637080322.jpg)
SEBUAH pesawat Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang terbunuh manakala seorang lagi cedera apabila sebuah pesawat Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, malam tadi.
Bagaimanapun belum ada pengesahan mengenai identiti kru yang terbabit dalam kejadian jam 10.07 malam di landasan pangkalan udara berkenaan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam ciapan di Twitter memaklumkan beliau menerima berita kejadian itu daripada Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.
"Baru terima panggilan daripada Panglima @tudm_rasmi Jeneral Tan Sri Ackbal memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 terhempas di Butterworth (malam) tadi.
"Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga anggota TUDM yang terkorban dalam kejadian itu.
"Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan seorang lagi yang cedera. Amat sedih dan dukacita terima berita ini.
"Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera. @MINDEFMalaysia telah diarah untuk salur apa jua keperluan kepada keluarga kedua-dua anggota terlibat," katanya
Terdahulu, TUDM dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan ini.
"Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih," katanya.
TUDM malam ini mengesahkan sebuah pesawat jenis Hawk miliknya terhempas di Pangkalan Udara Butterworth.