|
Bintang pop yeh yeh Singapura, Zam Zam Sahri meninggal dunia
Pergi pada usia 74 tahun, Allahyarham Zam Zam dijangka dikebumikan di Pusara Abadi, Singapura, esok. Foto Ihsan Hartini Harris/Berita Harian Singapura
SINGAPURA: Penyanyi pop yeh yeh popular era 1960-an, Zam Zam Sahri, 74, meninggal dunia di kediamannya di sini, pada jam 7.20 malam tadi, lapor Berita Harian Singapura.
Pada 8 Disember lalu, Allahyarham Zam Zam dilaporkan rebah ketika menonton televisyen (TV) di rumah dan dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng, di sini serta berada dalam keadaan koma.
Laporan itu menyebut, minggu lalu, arwah dikeluarkan daripada sistem sokongan hidup dan dimasukkan ke wad biasa.
Salah seorang anaknya, Nurazikin, 39, dilaporkan berkata, sebaik dimasukkan ke wad biasa, ayah mengalami jangkitan paru-paru dan kesihatannya kembali merosot.
"Pada mulanya kami lihat keadaan ayah agak baik hinggalah jangkitan bermula.
"Doktor kata mereka sudah berikan ubat yang paling kuat dan jika tidak berkesan, tidak banyak yang dapat dilakukan lagi," katanya kepada Berita Harian Singapura.
Laporan itu menambah, jenazah Allahyarham Zam Zam dijangka dikebumikan di Pusara Abadi, di sini, esok.
Allahyarham Zam Zam yang pernah mengalami serangan jantung kira-kira lima tahun lalu, meninggalkan seorang balu, tiga anak dan dua cucu.
Allahyarham Zam Zam cukup dikenali dengan lagu Bibir Mesra Jiwa Parah. Rangkaian lagunya sering dimainkan di stesen radio di Singapura, Malaysia dan Brunei.
Antara lagu Zam Zam yang popular termasuk Usah Harta Jadi Rebutan; Setahun Tak Jumpa Sesaat Tak Lupa; Senandung Teruna Merantau; Gema Kasehku; Hilang Budi Dek Nafsu; Panas Setahun Hujan Sehari dan banyak lagi. - Berita Harian Singapura
Sumber:https://www.bharian.com.my/hibur ... hri-meninggal-dunia
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|