NIBONG TEBAL: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengesan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, di sini berada dalam julat tidak sihat ketika mengadakan pemantauan kualiti udara semalam.
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pemantauan kualiti udara itu dilakukan bagi mengenal pasti gas dan parameter pencemar yang wujud dengan mod cerapan setiap 30 saat.
"Pemantauan dilakukan di tujuh lokasi membabitkan SRJKT Ladang Changkat, Sekolah Kebangsaan (SK) Keledang Jaya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, SK Methodist, Dewan MPKK Changkat, Surau Al Mustaqim, Bandar Cassia dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Saujana Indah.
"Dalam pada itu, pengukuran gas di SJKT Ladang Byram masih berlangsung dari awal pagi hingga kini yang mana IPU di situ menunjukkan berada dalam julat tidak sihat, iaitu 112 (parameter dominan habuk halus pm 2.5)," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Jelasnya, data gas yang dicerap pihaknya dimaklumkan dalam mesyuarat bencana.
"Pemantauan akan diteruskan di lokasi bersesuaian sehingga pemadaman selesai dan bacaan kualiti udara yang stabil diperoleh," katanya.
Semalam, tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, diisytihar sebagai kawasan bencana tahap satu berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20.
Ia selepas kawasan kebakaran di tapak pelupusan sampah berkenaan mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.
Terdahulu, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian pada jam 4.43 petang Rabu minggu lalu dan ia masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya hingga hari ini.
Operasi pemadaman kini giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menggunakan kaedah pengeboman air.