Oleh Nur Izzati Mohamad - Januari 20, 2022 @ 3:42pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/20bh016zj_1642671221.jpg)
Tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung di sini yang masih terbakar membabitkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi
NIBONG TEBAL: Operasi pembuangan sampah di tapak pelupusan Pulau Burung di sini, hanya boleh dibuat dalam kawasan Fasa 3 dengan mereka yang masuk ke situ, dikehendaki memakai pakaian perlindungan diri (PPE).
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pembuangan sampah itu diberikan memandangkan Pulau Pinang tiada lagi tapak pelupusan sampah, selain satu-satunya hanya di Pulau Burung.
Justeru, pembuangan sampah boleh dibuat membabitkan kawasan Fasa 3 sahaja dan mereka perlu memakai PPE yang bersesuaian.
"Diikutkan tapak pembuangan sampah perlu ditutup sementara sehingga operasi selesai, namun tidak ada pilihan kerana di situ adalah satu-satunya tapak pelupusan sampah yang ada di negeri ini.
"Oleh yang demikian, pembuangan hanya boleh dibuat di Fasa 3 sahaja dan mereka (pemandu lori) perlu memakai PPE yang sesuai," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Semalam, tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, diisytihar sebagai kawasan bencana tahap satu berdasarkan Arahan Nombor 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ia selepas kawasan kebakaran di tapak pelupusan sampah berkenaan mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.
Berikutan itu, orang ramai tidak lagi dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan.
Terdahulu, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang Rabu minggu lalu dan ia masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya hingga hari ini.
Operasi pemadaman kini giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menggunakan kaedah pengeboman air.