BUKIT MERTAJAM: Polis akan menyiasat semua dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu dengan seadil-adilnya berlandaskan fakta dan bukti yang ada.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata polis menyiasat dengan teliti semua dakwaan dan laporan dibuat wakil rakyat terbabit.
"Sebagaimana, kenyataan Pengarah JSJN tempoh hari, polis akan menyiasat semua dakwaan dibuat wakil rakyat terbabit.
"Siasatan dijalankan dengan seadil-adilnya berlandaskan fakta dan bukti yang ada" katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas laporan portal berita yang peguam ADUN terbabit, Ramkarpal Singh mendakwa ujian dadah kali kedua dijalankan ke atas wakil rakyat itu gagal mengesan unsur dadah terlarang.
Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut.
Khamis lalu, ADUN berusia 54 tahun itu ditahan di sebuah kelab malam di Perai, di sini dalam serbuan kira-kira jam 9 malam selepas didapati positif dadah.
Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata, polis masih menunggu laporan pakar patologi bagi melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.