View: 445|Reply: 0
|
[Kedah]
Padah biar dua cucu di belakang pikap tanpa pengawasan
[Copy link]
|
|
Kubang Pasu: Tindakan seorang datuk membiarkan dua cucunya berada di belakang sebuah pikap dalam keadaan terbuka dan merbahaya mengundang padah apabila warga emas itu ditahan polis, semalam.
Ianya susulan video yang tular di Facebook sejak semalam sehingga mengundang kebimbangan ramai.
Rakaman berdurasi 26 saat itu memaparkan sebuah Toyota Hilux warna hitam yang membawa dua kanak-kanak itu di ruang belakang pikap tidak bertutup dan tanpa pengawasan orang dewasa yang boleh membahayakan nyawa dan keselamatan diri dan orang lain.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Kubang Pasu menerima video rakaman itu semalam pada jam 2.26 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di lampu isyarat simpang tiga Jalan Jitra berhampiran Balai Polis Jitra Lama.
"Berikutan itu, pada jam 3 petang semalam, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota BSPT Kubang Pasu berjaya mengesan suspek seorang berusia 65 tahun di Kampung Kota Mengkuang, Mukim Wang Tepus.
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/biarcucu_1643711615.jpg)
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
"Hasil siasatan terhadap suspek ialah datuk kepada dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun yang mengaku memandu kenderaan sambil membiarkan kedua-dua cucunya duduk di belakang pikap tanpa pengawasan dan hanya sekadar suka-suka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rodzi berkata, berikutan itu, pihaknya membuka siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Beliau berkata, pihaknya menyeru ibu bapa atau penjaga supaya mengambil iktibar daripada kejadian itu supaya lebih bertanggungjawab dengan keselamatan kanak-kanak serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
"Lelaki itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil," katanya.
"Pihak IPD Kubang Pasu juga menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah di sekitar daerah Kubang Pasu dapat menyalurkan maklumat di talian Hotline IPD Kubang Pasu 04-9172222," katanya. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|