![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/photo_2022-02-03_19-25-05_copy_1643891781.jpg)
Tangkap layar video tular memaparkan insiden pertengkaran membabitkan pelanggan dengan dua pekerja restoran nasi kandar di Batu Maung, Bayan Lepas, Sabtu lalu. - Foto tular
BAYAN LEPAS: Polis menyiasat video 31 saat yang tular memaparkan pertengkaran antara pelanggan dengan dua pekerja restoran nasi kandar di Batu Maung di sini yang tular di media sosial.
Menerusi rakaman video itu, pelanggan lelaki berkenaan mendakwa pekerja restoran terbabit memberi baki wang kurang daripada bil makanannya.
Selain itu, seorang pekerja restoran didakwa bersikap biadap ketika pelanggan terbabit meminta penjelasan berkaitan baki berkenaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata siasatan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pekerja restoran itu berhubung pertengkaran yang berlaku.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang pada Sabtu lalu di sebuah restoran nasi kandar di Batu Maung, di sini.
"Siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya dalam kenyataan, hari ini.