GEORGETOWN: Peniaga di Pasar Awam Lebuh Cecil, di sini, terpaksa menjual ayam mentah pada harga RM12 sekilogram sejak dua hari lalu berikutan kekurangan bekalan.
Peniaga yang enggan dikenali itu berkata, beliau menjual bahagian ayam yang sudah dipotong pada harga berkenaan mengikut berat dan keinginan pelanggan.
"Sudah dua hari pembekal tidak menghantar bekalan sedangkan saya sudah membuat bayaran kepada mereka.
"Saya peniaga ayam, jika bekalan ayam tiada, saya mahu jual apa? Jadi, terpaksalah saya jual dengan cara itu," katanya yang berharap situasi itu tidak berpanjangan.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan memutuskan harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 sekilogram
Tinjauan di Pasar Awam Pulau Tikus, di sini, mendapati peniaga di situ juga dijual mahal iaitu pada harga RM10 sekilogram.
Sementara itu, peniaga ayam di Pasar Awam Jalan Patani, Muhammad Shamil Haja Mubarak Ali, berkata beliau akur dengan harga yang ditetapkan walaupun sudah kerugian lebih RM12,000 sejak beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, buat masa ini, beliau tidak mengalami gangguan bekalan kerana membeli daripada beberapa pembekal.
"Jika hanya bergantung kepada satu pembekal sahaja, sudah tentu saya akan mengalami nasib yang sama dengan pembekal lain.
"Saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera kerana yang menanggung kerugian adalah peniaga," katanya.