|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/Hamzah_sendphoto_1645343569_1645344827.jpg)
Tangkap layar video memaparkan kereta dipandu suspek terbabas ke dalam parit ketika dikejar kenderaan peronda polis (MPV) di Jalan Kuah-Padang Matsirat, Langkawi malam tadi.
LANGKAWI: Polis menahan sepasang kekasih selepas mengejar kereta dinaiki mereka sejauh kira-kira 3.5 kilometer di Jalan Kuah-Padang Matsirat di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 7 malam itu, kereta Toyota Avanza yang dinaiki pasangan itu, cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis apabila dipandu laju secara melawan arus, hingga merempuh beberapa kenderaan lain sebelum terbabas ke dalam parit.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata sebelum kejadian itu, kereta terbabit dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berhampiran Pusat Perdagangan Kelana Mas, di sini.
"Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Langkawi dibantu MPV dalam tugas Op Tapis cuba melakukan pemeriksaan selepas mengesyaki ada aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kereta.
"Menyedari kehadiran polis, pemandunya memecut menghala ke Padang Matsirat sambil dikejar MPV. Ketika cuba meloloskan diri, kereta merempuh beberapa kenderaan lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Shariman berkata, cubaan pasangan itu meloloskan diri terhalang apabila kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di tepi jalan.
"Anggota polis kemudian tangkapan suspek lelaki dan teman wanitanya masing-masing berusia 42 dan 34 tahun untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, saringan kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis morfin, manakala wanita terbabit positif methamphetamine.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Terdahulu, tiga video kejadian itu masing-masing berdurasi enam, 11 dan 17 saat tular dalam media sosial Facebook dan di aplikasi WhatsApp sejak awal malam tadi.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|