GEORGETOWN: Tiada lagi hotel kuarantin di Pulau Pinang selepas industri perhotelan di negeri ini kembali bangkit dengan aktiviti pelancongan yang semakin meningkat.
EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata, hotel yang sebelum ini dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) kini kembali beroperasi seperti biasa.
"Ia berikutan pengasingan di rumah kini dibenarkan bagi pesakit positif COVID-19, selain PKRC yang dikendalikan kerajaan masih mencukupi untuk menampung pesakit.
"Terdapat tiga PKRC di Pulau Pinang iaitu Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) Jawi di Nibong Tebal; Kompleks Masyarakat Penyayang dan Blok Pergigian Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Soon Hin berkata, data menunjukkan kadar penghunian MEC sehingga semalam (10 Mac) ialah 34 peratus manakala kadar penghunian Kompleks Masyarakat Penyayang dan Hospital Blok Pergigian HPP kekal pada 0 peratus.
Katanya, angka sehingga semalam juga menunjukkan pesakit yang menerima rawatan di wad di HPP adalah 70 peratus, Hospital Kepala Batas (69 peratus), Hospital Sungai Bakap (67 peratus) manakala Hospital Bukit Mertajam dan Hospital Seberang Jaya masing-masing 0 peratus.
"Selepas tempoh yang berpanjangan terhenti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), industri hotel kini kembali mendapat momentum menerusi aktiviti perniagaan dan pelancongan domestik.
"Sehubungan itu, hotel di Pulau Pinang kembali pada prestasi terbaik mereka, iaitu menyediakan perkhidmatan hospitaliti yang teladan kepada pelanggan.