|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bernas1_1647241679.jpg)
ALOR SETAR: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mengenal pasti 12 lokasi baharu ladang padi di seluruh negara, yang bakal diusahakan secara skala besar di bawah Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).
Lokasi itu adalah di Sungai Batu Pahat dan Titi Tinggi di Perlis; Bukit Besar, Kedah; Sungai Manik, Perak dan Tok Kamis dan Jelor di Pasir Putih, Kelantan.
Selain itu, kawasan di Gong Dasar, Terengganu; Gancong Hulu, Rompin Pahang; Batang Lupar, Sarawak dan Kampung Kalumbai, Kota Belud di Sabah.
Ketua Jabatan Pengurusan Ladang BERNAS, Norhisham Abdul Rahman, berkata pihaknya setakat ini, sudah membangunkan empat kawasan SMART SBB membabitkan kerjasama bersama 465 pesawah berdaftar.
"Pembabitan pesawah adalah elemen penting dalam program itu, malah ia tidak mungkin dapat dilaksana tanpa komitmen tinggi mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Norhisham berkata, program SMART SBB turut membabitkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan agensi berkaitan pesawah.
Beliau berkata, usaha kolektif secara berterusan itu penting bagi mendedahkan pesawah kepada aspek pembangunan dan pengamalan teknologi pengurusan tanaman padi yang bersesuaian dengan perkembangan semasa
"Ini selaras dengan usaha kerajaan bagi mencapai objektif transformasi sektor padi dan beras, sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah seluruh negara," katanya.
Mengulas lanjut, Norhisham berkata, program SMART SBB menerapkan amalan pertanian lestari dan berteknologi tinggi berbanding konsep pertanian konvensional sebelum ini.
Beliau berkata, ia turut membabitkan kerjasama agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi tempatan, yang menawarkan khidmat nasihat serta kepakaran dalam bidang berkaitan.
Antara agensi terbabit, katanya, adalah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA),
Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Jabatan Pertanian Negeri (JPN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), yang bertindak sebagai rakan pembimbing.
Beliau berkata, pihaknya turut menitikberatkan penggunaan jentera moden yang berupaya memelihara kelestarian tanah, penggunaan teknologi dron pelbagai aplikasi, pengamalan jadual kerja ladang yang lebih sistematik dan pelbagai amalan pertanian baik yang lain. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|