View: 357|Reply: 0
|
[Pulau Pinang]
Polis siasat kes lelaki dikasari individu bersenjatakan kayu
[Copy link]
|
|
Nibong Tebal: Polis membuka kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki cedera selepas dikasari beberapa individu bersenjatakan kayu hingga insiden itu tular di media sosial pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, polis terkesan dengan dua video masing-masing berdurasi 44 dan 26 saat yang dimuatnaik pada jam 10.38 pagi semalam di Facebook.
Menurutnya, dalam video itu memaparkan kejadian seorang lelaki dikasari oleh beberapa individu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lengan tangan kanan akibat dipukul suspek.
"Kejadian itu didapati berlaku di sebuah rumah dalam kawasan Nibong Tebal pada Ahad lalu (3 April) kira-kira jam 12.50 tengah malam.
"Berdasarkan siasatan, kejadian itu berpunca akibat salah faham dan perasaan cemburu yang tidak terkawal," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan.
"Sehingga kini tiada laporan polis yang dibuat oleh mangsa ekoran kejadian menimpanya.
"Bagaimanapun berikutan kejadian ini, polis membuat tangkapan terhadap suspek yang terbabit dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 498/506 Kanun Keseksaan," katanya.
Lee berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menularkan video yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
"Selain itu, orang ramai juga diminta tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya membuat laporan polis dan menyerahkan kepada agensi penguatkuasa untuk tindakan susulan," katanya.
Terdahulu, kedua-dua klip video yang dimuatnaik di media sosial itu kelihatan seorang lelaki yang dikatakan bekerja sebagai kontraktor elektrik dikasari beberapa individu yang memukul anggota badannya dengan kayu seperti lagak filem tamil.
Dalam hantaran itu turut mendakwa bahawa lelaki berkenaan cuba melakukan jenayah pecah rumah hingga warganet yang tidak mengetahui kejadian sebenar turut mengecam tindakan itu, selain ada juga yang meminta perbuatan mengasari lelaki terbabit dihentikan sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -bersenjatakan-kayu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|