CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 899|Reply: 0

Semoga bumi ini terus dirahmati

[Copy link]
Post time 29-8-2022 09:25 PM | Show all posts |Read mode
Semoga bumi ini terus dirahmati


PENTING supaya kita terus berdoa agar Malaysia dikurniakan nikmat keamanan dan kesejahteraan berpanjangan.


Tahun ini rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-65. Selama tempoh tersebut, negara Malaysia mengalami pelbagai cabaran dalam usaha menjadi negara makmur dan maju setanding negara lain. Kemakmuran dan kemajuan negara dinikmati seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Semua nikmat tersebut wajib disyukuri dan pastinya kesyukuran tersebut hanya ditujukan kepada Allah SWT.

Sesungguhnya dengan mensyukuri nikmat dikecapi di negara tercinta ini boleh menjadi sebab Allah SWT terus melimpahkan nikmat keamanan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku (Allah) akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Setiap Muslim perlu menanam rasa cinta terhadap negara sendiri. Hanya dengan perasaan cinta tersebut, setiap tingkah laku diawasi bagi menjaga nama baik negara menjadi tempat tinggal dan tempat mencari rezeki. Kewajipan menjaga setiap tingkah laku agar dapat mempamerkan keharmonian negara ialah tanggungjawab besar pemimpin dan rakyat Malaysia. Usah buka ruang kepada pihak luar merendahkan Malaysia, sebaliknya setiap warganegara perlu bersatu dalam menjaga kedaulatan negara tercinta ini.

Sejarah membuktikan dalam usaha menyebar dakwah Islam, penguasaan terhadap sesebuah tempat diiktiraf sebagai negara berdaulat memberi impak besar dalam menempa kejayaan dakwah Rasulullah SAW. Usaha dakwah di Makkah pada awal penurunan wahyu tidak mendapat sambutan sepatutnya dek kerana penguasaan golongan kuffar terhadap kota Makkah pada ketika itu.

Islam bukan saja tidak mendapat sambutan hebat ketika di Makkah, tetapi menerima tekanan hebat sehingga berlaku peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan umat Islam ke Madinah. Jelaslah bahawa penguasaan terhadap sesebuah tempat sebagai sebuah negara berdaulat menjadi antara sebab penting kejayaan dakwah Rasulullah SAW sehingga akhirnya Islam kembali ke Makkah.

Allah SWT menjelaskan kepentingan hijrah dalam usaha meraih keredaan-Nya menerusi firman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nisa', ayat 100)

Dakwah Rasulullah SAW yang berkembang pesat selepas hijrah ke Madinah membibitkan perasaan cinta terhadap bumi Madinah. Anas bin Malik menjelaskan bahawa: "Sesungguhnya Rasulullah sekiranya Baginda pulang dari satu perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah) Baginda akan menggesa untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai di Madinah." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Inilah antara sunnah Rasulullah SAW yang perlu kita ikuti berkaitan kecintaan terhadap tanah air sendiri. Justeru, setiap perbuatan yang boleh menggugat kestabilan negara perlu dihentikan segera. Jangan ada orang sanggup mendedahkan perkara yang boleh mendatangkan kecaman ataupun ancaman pihak luar yang menanti saat ketidakstabilan dalam negara. Cukuplah politik membuatkan rakyat di negara ini menjadi berpecah-pecah. Segera perbaiki suasana politik tanah air agar negara ini dihormati pihak luar dengan keharmonian dan kesejahteraan yang tidak mudah diusik oleh anasir jahat.

Ikutlah panduan Rasulullah SAW yang berdoa agar dicurahkan rasa cinta terhadap bumi Madinah tempat terbinanya sebuah negara Islam contoh semasa pentadbiran Baginda. Rasulullah SAW berdoa yang mafhumnya: "Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah sepertimana kami mencintai Makkah." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kita tidak lupa memohon doa agar diri dan keluarga sentiasa berada dalam keadaan baik. Namun adalah penting supaya kita berdoa agar Malaysia terus dikurnia nikmat keamanan dan kesejahteraan berpanjangan. Mana mungkin diri dan keluarga kita dalam keadaan sejahtera sekiranya negara ini dilanda huru hara dan kacau bilau. Jika semua rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak lupa untuk mendoakan kebaikan untuk Malaysia, dengan izin Allah jua, negara ini akan terus berada dalam keadaan yang baik sepertimana sekarang.

Justeru, pada kesempatan meraikan ulang tahun kemerdekaan negara pada kali ini, umat Islam perlu terus berusaha memastikan negara ini sentiasa diberkati oleh Allah SWT. Tindakan dilakukan dengan berpegang kepada ketetapan daripada-Nya akan membuatkan negara ini terus dilimpahi keberkatan daripada-Nya. Usah hanya berpada mengungkap ayat cintakan tanah air di bibir sahaja sedangkan perbuatan diri sendiri tidak mencerminkan kecintaan kepada negara.

Usah kita harapkan orang lain mendoakan kebaikan untuk negara ini, sebaliknya kitalah yang perlu terus istiqamah menadah tangan memohon agar Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya ke atas bumi bertuah ini. Contohilah kecintaan Nabi Ibrahim terhadap bumi Mekah menerusi doa baginda yang dirakamkan dalam al-Quran.

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman: "(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali." (Surah al-Baqarah, ayat 126)

Nabi Ibrahim berdoa agar Makkah menjadi tempat yang aman dengan kurniaan rezeki daripada hasil tanaman dan sebagainya. Inilah bukti kecintaan Nabi Ibrahim terhadap tempat didiaminya serta keturunannya. Doa Nabi Ibrahim yang memohon agar Makkah dikurniakan keamanan turut dirakamkan Allah SWT pada ayat lain dalam al-Quran: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku daripada perbuatan menyembah berhala." (Surah Ibrahim, ayat 35)

Semoga Malaysia terus dikurniakan kestabilan, keamanan, keharmonian serta dilimpahi dengan kekayaan yang diurus oleh pemimpin yang amanah. Marilah kita berdoa agar seluruh rakyat Malaysia diberi perlindungan oleh Allah SWT daripada sebarang marabahaya dan malapetaka.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... ini-terus-dirahmati

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 12:05 PM GMT+8 , Processed in 0.651124 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list