CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 944|Reply: 0

Jauhi terpalit fitnah

[Copy link]
Post time 24-9-2022 06:30 PM | Show all posts |Read mode
Jauhi terpalit fitnah


SATU kaedah mendapat pengetahuan ialah dengan menghadiri majlis ilmu dikendalikan penceramah atau pendakwah.

Para pendakwah atau kadangkala digelar sebagai 'orang agama'  harus menjaga perwatakan dan tutur bicaranya pada setiap masa. Jika terlebih ketawa dan bergurau senda mungkin dikatakan tidak menjaga batas pergaulan, sebaliknya terlalu pendiam dan serius mungkin dikatakan sombong dan tidak mesra dengan masyarakat. Jika terlebih berfesyen dan bergaya mungkin dikatakan tidak sesuai dengan keperibadian, sebaliknya jika tidak pandai bergaya dan berfesyen mungkin dikatakan ketinggalan dan tidak seiring dengan peredaran zaman. Begitulah gambaran betapa pentingnya keterampilan seorang pendakwah pada penilaian masyarakat iaitu mad'u atau orang yang didakwah. Merasa  thiqah  dan percaya kepada pendakwah melalui akhlak yang baik serta peribadi yang mulia akan memudahkan lagi penerimaan dakwah dalam kalangan masyarakat.

Berdakwah adalah suatu tugas dan tanggungjawab yang mulia sehingga digandingkan dengan gelaran umat terbaik sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." Justeru segala persiapan perlu dilakukan sebelum seseorang terjun ke tengah-tengah masyarakat, menggalas amanah besar untuk menjadi pendakwah. Antara persiapan terpenting bagi seorang pendakwah adalah penguasaan ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Ilmu fardu ain adalah perkara yang berkait rapat dengan kewajipan yang dituntut ke atas setiap insan seperti ilmu berkaitan akidah, ibadah dan seumpamanya yang melibatkan persoalan asas Islam.  Manakala ilmu fardu kifayah pula adalah seperti pengetahuan semasa, penguasaan teknologi dan sebagainya yang diperlukan agar dakwah dapat disampaikan secara berkesan seiring dengan perubahan generasi dan peredaran zaman. Menjadi pendakwah sepertimana dinyatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Thaqafah al-Da'iyah, memerlukan penguasaan ilmu yang bukan kepalang. Pelbagai persoalan dan permasalahan berkaitan hukum-hakam agama datang daripada pelbagai latar belakang masyarakat. Jawaban dan respon yang diberikan kepada setiap pertanyaan pula haruslah mengikut situasi dan kesesuaian tahap pemikiran masyarakat sebagaimana kaedah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam dakwah Baginda. Di dalam sebuah hadis daripada Ibnu Mas'ud bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah sekali-kali kamu berbicara kepada sebahagian manusia dengan kata-kata yang tidak sampai kepada akal mereka kecuali hal itu hanya akan menjadi fitnah atas sebahagian mereka." (Riwayat Muslim) Selain ilmu pengetahuan, sifat sabar merupakan senjata utama yang diperlukan oleh seorang pendakwah dalam melaksanakan tanggungjawabnya sama ada sabar ketika menghadapi kerenah para mad'u mahupun sabar dengan ujian kehidupan dan godaan keduniaan.  Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Jika seorang Muslim bergaul (berinteraksi sosial) dengan orang lain dan bersabar atas gangguan mereka, adalah lebih baik daripada seorang Muslim yang tidak bergaul (tidak berinteraksi sosial) dengan orang lain dan tidak bersabar atas gangguan mereka" - (Riwayat Tirmizi). Seorang pendakwah yang bijak tahu bagaimana untuk menempatkan dirinya dalam masyarakat dan bersabar dengan kerenah dan gangguan yang ada. Bahkan perjalanan dakwah para nabi dan rasul juga tidak sunyi daripada gangguan manusia namun mereka tetap bersabar dan sentiasa memohon pertolongan daripada Allah SWT. Seorang pendakwah harus membiasakan dirinya untuk menempuh pelbagai ujian dan kesukaran serta beristiqamah dan tidak berputus asa dalam menyampaikan seruan kebaikan di jalan Allah SWT. Allah SWT memberikan jaminan kepada para nabi dan rasul bahawa kesabaran dalam usaha dakwah akan sentiasa mendapat pembelaan daripada-Nya. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ahqaf ayat 35 yang bermaksud: "(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul 'Ulil-Azmi' (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu)." Pendakwah juga perlu mempersiapkan diri dengan akhlak dan adab yang terpuji. Perbuatan jahat dan keji adalah tidak selari dengan sifat para pendakwah sebagaimana kata Abu al-Aswad al-Du'ali: "Jangan kamu tegah mana-mana orang sedangkan kamu lakukan perbuatan tersebut, maka aib besarlah ke atas kamu apabila kamu lakukan juga larangan kamu." Allah SWT memperingatkan bahawa sangat besar dosanya bagi orang yang menyatakan sesuatu, tetapi dia sendiri tidak melaksanakannya. Perkara tersebut bukan sahaja buruk pada pandangan Allah tetapi juga pada pandangan masyarakat. Firman Allah SWT dalam surah al-Saf ayat 3 yang bermaksud: "Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." Cabaran yang perlu dilalui oleh para pendakwah pada zaman kini mungkin berbeza jika dibandingkan dengan zaman sebelumnya. Pada zaman media sosial menguasai hampir segenap urusan, tutur kata dan gerak-geri para pendakwah juga sentiasa mendapat perhatian sama ada dalam aspek kehidupan peribadi ataupun bersosial. Sesetengah isu yang kurang enak didengar mudah menjadi tular kerana cepat disebarkan dalam kalangan masyarakat melalui platform media sosial. Isu-isu tular tersebut mungkin dalam bentuk petikan kenyataan dan pandangan yang tidak disiarkan sepenuhnya, rakaman video yang tidak menggambarkan situasi sebenar ataupun berita tentang perbuatan buruk yang benar-benar dilakukan. Bahan-bahan cerita ini boleh ditonton dan diikuti oleh segenap lapisan masyarakat di mana-mana sahaja tidak lagi terhad di tempat tertentu. Justeru para pendakwah mesti sentiasa mengingati peranannya dalam memberikan suluhan dan pencerahan kepada ummah, menyumbang kepada keharmonian dalam kalangan masyarakat dan bukan mencetuskan kekeliruan dan memecahbelahkan. Para pendakwah wajib memelihara akhlak dan maruah sebagai penyampai risalah Islam pada setiap masa serta berusaha menjauhkan diri daripada terpalit dengan pelbagai tuduhan melakukan perbuatan tidak bermoral supaya tidak menjadi fitnah kepada agama. Hakikatnya para pendakwah juga adalah manusia biasa namun mewarisi misi kenabian, menjadi tempat rujukan ummah dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)


Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... uhi-terpalit-fitnah

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 12:09 PM GMT+8 , Processed in 0.159951 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list