Iran menjatuhkan hukuman mati pertamanya terhadap individu terbabit 'rusuhan' beberapa minggu selepas protes tercetus akibat kematian seorang wanita dalam tahanan polis, kata laman web badan kehakiman.
Tertuduh yang tidak dikenali dijatuhi hukuman mati di mahkamah di Tehran atas kesalahan membakar bangunan kerajaan, mengganggu ketenteraman awam, perhimpunan dan konspirasi untuk melakukan jenayah terhadap keselamatan negara serta sebagai "musuh Tuhan dan rasuah di bumi", lapor Mizan Online.
Foto pada 21 September 2022 menunjukkan individu menyertai protes di Tehran, susulan kematian Mahsa. - AFP
Kesalahan terakhir dianggap paling serius di bawah undang-undang Iran.
Pergolakan di seluruh negara menyusuli kematian Mahsa Amini, 22, pada 16 September lalu selepas dia ditangkap oleh polis di Tehran kerana didakwa melanggar kod pakaian untuk wanita.
Puluhan orang terutamanya penunjuk perasaan tetapi juga anggota keselamatan terbunuh ketika protes itu yang disifatkan pihak berkuasa sebagai "rusuhan".
Satu lagi mahkamah di Tehran menjatuhkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun kepada lima yang lain kerana "berkumpul dan berkomplot untuk melakukan jenayah terhadap keselamatan negara dan mengganggu ketenteraman awam", kata Mizan.
Semua yang disabitkan boleh merayu hukuman mereka, tambah laman web itu.
Ahad lalu, Mizan dan media tempatan lain juga berkata badan kehakiman mendakwa lebih 750 orang di tiga wilayah kerana terbabit dalam "rusuhan baru-baru ini".
Sumber: Harian Metro
|