CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 324|Reply: 0

Pagi lesu, petang bertenaga!

[Copy link]
Post time 19-4-2023 06:19 PM | Show all posts |Read mode
Pagi lesu, petang bertenaga!




PERNAHKAH anda terfikir apa yang berlaku dalam tubuh ketika kita berpuasa? Mengapa kita berasa letih ketika berpuasa, lebih-lebih lagi ketika tengah hari dan awal petang berbanding sebelah pagi. Tetapi, akan berasa sedikit bertenaga pada lewat petang?

Pensyarah Kanan di Fakulti Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin berkata, keletihan tubuh yang dirasai sepanjang siang ketika berpuasa adalah disebabkan perubahan fisiologi tubuh.

"Bahan utama yang digunakan badan bagi menghasilkan tenaga adalah glukosa dan ia diperoleh melalui makanan dan minuman.

"Selepas proses pencernaan di perut, glukosa dalam makanan dan minuman tadi disebar ke seluruh tubuh melalui saluran darah untuk digunakan organ tubuh.

"Penguraian glukosa ini yang menghasilkan 'adenosine triphosphate' atau singkatannya ATP iaitu tenaga supaya badan dalam menjalankan fungsi," katanya.

Menurutnya, tenaga membolehkan fungsi organ dan sistem terus bekerja bagi membantu manusia menjalani kehidupan seharian.

Namun, ketiadaan makanan atau minuman ketika berpuasa menyebabkan paras glukosa dalam saluran darah berkurang.

Bagi menyeimbangkan semula kandungan gula dalam darah, glikogen yang tersimpan dalam otot akan dikeluarkan.

"Glikogen adalah satu bentuk simpanan gula dalam tubuh terbentuk rantaian glukosa yang disimpan dalam hati dan otot.

"Badan akan mula memecahkan glikogen kepada glukosa untuk digunakan sebagai tenaga.

"Namun, glikogen dalam hati dan otot juga akan mengalami pengurangan dan akhirnya mencapai batas dan ini biasanya berlaku pada tengah hari ke awal petang," katanya.

Pengurangan glikogen di hati dan otot ini menandakan tamatnya penghasilan tenaga dari sumber glukosa dan membuatkan seseorang itu berasa amat lesu pada jeda waktu ini.

Maka dengan itu, penghasilan tenaga bergantung sepenuhnya kepada simpanan lemak sebagai bahan bakar utama dan proses ini dinamakan ketosis.

Selepas tubuh mencapai tahap ketosis, seseorang itu berasa kurang lesu dan keadaan ini biasanya berlaku pada lewat petang sehingga tiba waktu berbuka.

https://assets.hmetro.com.my/ima ... 73b9_1681772417.jpg
PERUBAHAN fisiologi badan membabitkan penggunaan glukosa, glikogen dan asid lemak mempunyai fasanya tersendiri.
Sebaik berbuka, tubuh kembali memenuhkan glukosa dan glikogen yang diperoleh daripada pencernaan makanan dan minuman.

Menurut Mohamed Nashrudin, fasa perubahan fisiologi badan membabitkan penggunaan glukosa, glikogen dan asid lemak ini mempunyai fasanya tersendiri.

Umumnya, badan menggunakan glukosa dalam saluran darah sebagai sumber tenaga pada jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari. Glikogen dalam otot dan hati (12 tengah hari sehingga 2 petang) dan ketone (2 petang sehingga waktu berbuka puasa).

"Badan mula beradaptasi dengan perubahan fisiologi itu sekitar empat atau lima hari kita mula berpuasa.

"Selepas seminggu berpuasa, hati akan lebih efisyen dalam menggunakan asid lemak sebagai bahan bakar utama. Penguraian tisu adipos kepada trigliserida dan akhirnya pencapai fasa ketosis juga akan berlangsung lebih awal sekitar jam 1 petang.

"Jadi, ini peluang untuk mereka yang berpuasa menurunkan berat badan kerana badan mula dilatih untuk membakar asid lemak," katanya.

Salah faham mengenai puasa menguruskan badan

Pengurangan berat badan melalui pembakaran lemak ketika berpuasa adalah fakta.

Namun, syaratnya pengambilan kalori ketika berbuka mesti dikawal supaya komposisi lemak yang terhasil selepas pencernaan tidak melebihi komposisi lemak yang sudah dibakar pada sebelah siang.

"Memang benar puasa boleh mengurangkan berat badan, tapi syaratnya pengambilan kalori mesti dijaga.

"Jangan berbuka seolah-olah menggantikan 'portion' sepanjang siang pada sebelah malam. Jika tidak, bukan sahaja berat badan tidak turun, malah beri kesan yang buruk juga.

"Hal ini disebabkan, sistem pencernaan manusia lazimnya menjadi kurang efisyen pada sebelah malam ditambah dengan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan pada waktu ini. Jika kita 'sumbat' kalori secara berlebihan pada sebelah malam, maka berlaku pengumpulan lemak yang tinggi kerana mengambil masa lama untuk dihadam," katanya.

Bersukan ketika Ramadan

Ketersediaan lemak sebagai bahan bakar ketika berpuasa perlu dimanfaatkan dengan senaman ketika berpuasa.

Namun, senaman yang dilakukan perlu bersesuaian dengan keadaan fisiologi ketika berpuasa supaya ia tidak memudaratkan.

"Senaman berintensiti rendah seperti joging dilakukan selama 30 sehingga 45 minit pada sebelah petang sementara menunggu waktu berbuka.

"Ini membolehkan lebih banyak asid lemak dibakar, sekali gus menyingkirkan toksin melalui peluh," katanya.

Menurut Mohamed Nashrudin senaman berintensi tinggi seperti latihan bebanan adalah tidak sesuai dilakukan pada siang hari ketika berpuasa.

"Latihan bebanan memerlukan karbohidrat sebagai bahan bakar, tidak memadai melalui lemak.

"Pada sebelah pagi pula, hormon kartisol iaitu hormon stres pula sedang meningkat. Latihan bebanan bakal meningkatkan lagi rembesan hormon kartisol.

"Jika dilakukan juga, ia akan mengakibatkan proses pemulihanan otot selepas latihan bebanan menjadi perlahan.

"Sekiranya mahu lakukan senaman berintensi tinggi, adalah lebih sesuai dilakukan di sebelah malam kerana karbohidrat boleh terus dibekalkan melalui pengambilan makanan bagi proses baik pulih tisu otot," katanya menafikan bersukan ketika berpuasa mengakibat kan pengecutan otot.


Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/202 ... su-petang-bertenaga

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 12:33 AM GMT+8 , Processed in 0.168822 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list