|
ZII JIA gagal mempertahankan gelarannya di BAC selepas tewas seawal pusingan pertama menentang Ka Long kelmarin.
Tiada jurulatih punca Zii Jia kalah
Pemain lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kembali menampilkan aksi kurang meyakinkan selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang berlangsung di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) malam kelmarin.
Dia yang juga juara bertahan dikejutkan dengan kekalahan straight-set 19-21, 16-21 kepada pemain bukan pilihan dari Hong Kong, Ng Ka Long dalam perlawanan yang memakan masa 39 minit.
Rata-rata peminat menganggap kekalahan dialami Zii Jia berpunca daripada keputusannya yang menjalani latihan di Hong Kong sebelum ini sehingga membolehkan lawannya itu membaca permainan.
Bagaimanapun, bekas pemain No. 1 dunia, Muhammad Roslin Hashim tidak menganggap perkara itu sebagai faktor utama kerana berpendapat Zii Jia juga berpeluang untuk melakukan analisis terhadap corak permainan Ka Long ketika di sana.
“Sebenarnya bukan kita nak katakan ia (berlatih di Hong Kong) betul atau salah, boleh jadi dia (Zii Jia) pergi ke sana tidak tahu akan berlatih bersama Ka Long. Sekiranya tidak ke sana pun, Ka Long tetap akan kaji permainannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, beliau juga berpendapat, kelebihan dimiliki Ka Long adalah faktor jurulatih yang sentiasa ada bersamanya bagi menilai serta mengkaji corak permainan pemain lawan.
“Katakan Ka Long cuba mengkaji permainannya ketika berlatih di Hong Kong, Zii Jia juga ada peluang untuk buat perkara sama, tetapi kelebihan yang Ka Long ada ialah dia memiliki jurulatih,” tambah Roslin.
Terdahulu, peminat-peminat badminton tempatan seolah-olah mendapat keyakinan baharu selepas Zii Jia berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir dua kali berturut-turut pada kejohanan Seluruh England (All England) dan Terbuka Switzerland bulan lalu.
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/04 ... unca-zii-jia-kalah/
|
|