View: 276|Reply: 0
|
Keputusan tipis ubah warna pingat – Aiqal
[Copy link]
|
|
AIQAL mengakui agak ralat kerana perbezaan keputusannya dengan pemenang emas agak sengit dengan 0.2 mata sahaja.
ATLET karate negara, Muhammad Aiqal Asmadie mengakui akur apabila perbezaan tipis 0.2 mata menjadi jurang antara misinya untuk menggenggam pingat emas selepas meraih status naib juara acara Kata individu pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 semalam.
Pada saingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, Phnom Penh semalam, Aiqal mempamerkan rentak bertenaga di atas gelanggang tetapi tewas kepada jaguh Indonesia, Ahmad Zigi Zaresta Yuda.
Aiqal yang berasal dari Labuan mengakui masih berpuas hati dengan keputusan yang diraih kerana dapat memperbaiki kedudukan lebih baik berbanding pada edisi 2021 di Vietnam tahun lalu.
“Saya sangat gembira dengan keputusan ini kerana bukan mudah untuk mara ke perlawanan akhir kerana peringkat awal saingan cukup sengit antara semua peserta tetapi saya masih berjaya meloloskan diri.
“Ini adalah saingan Sukan SEA kedua saya dan pada edisi yang lepas, saya dapat pingat gangsa dan sudah tentu saya bangga apabila kali ini saya dapat menyumbangkan pingat perak.
“Namun, saya akui agak ralat kerana perbezaan keputusan antara saya dengan atlet pesaing agak sengit dengan 0.2 mata sahaja.
“Cuma, saya terima keputusan ini kerana acara Kata memang melibatkan teknikal yang sukar,” katanya meraih 38.4 mata manakala Ahmad Zigi mendapat 38.6 mata.
Sementara itu, Aiqal yang baru berusia 19 tahun berharap dapat terus belajar daripada pengalaman selain mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang sentiasa memberi sokongan penuh dalam kariernya.
“Pingat ini saya dedikasikan kepada ibu bapa, barisan jurulatih yang percaya dengan keupayaan saya untuk berjuang demi negara,” katanya.
https://www.kosmo.com.my/2023/05 ... warna-pingat-aiqal/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|