Post Last Edit by Risma at 19-12-2010 10:19
Amelia Earhart adalah seorang wanitawarga Amerika Syarikat yang sangat luar biasa. Dia adalah seorang juruterbang yang berkebolehan tinggi, menjadi wanita pertama terbang merentasi Lautan Atlantik secara bersendirian. Dia membuat keputusan untuk meningkatkan lagi pencapaiannya dengan melakukan penerbangan mengelilingi dunia ke arah timur menggunakan pesawat Lockheed Electra 10-E, bermula 1 Jun 1937.
Pesawat itu dilengkapi peralatan baru yang dapat membantu Amelia dan rakan dalam penerbangan, Kapten Frederick Noonan yang bertindak sebagai juru panduarah (navigator) dalam menentukan arah dan laluan penerbangan. Pihak Amerika Syarikat juga telah memasang peralatan di pulau-pulau yang dikuasainya diLautan Pasifik dengan tujuan untuk mengesan pergerakan Amelia dan memberikan bantuan kepadanya menerusi alat-alat baru yang dilengkapkan kepada pesawat juruterbang wanita itu.
Sebulan selepas pengembaraan itu bermula, Amelia berlepas dari Lae di Papua New Guinea menghala ke Pulau Howland. Cuaca yang pada mulanya agak baik berubah buruk. Ketegangan mula dirasai apabila Amelia beberapa kali gagal menghubungi pihak tentera yang memantau pergerakannya, manakala peralatan canggih yang digunakan pihak tentera gagal pula untuk mengesan Amelia. Transmisi terakhir yang diterima daripada Amelia pada pagi 2 Julai 1937 menandakan betapa dia berada dalam keadaan tertekan, letih dan memberikan kedudukannya dalam lingkungan beberapa ratus batu ke utara dan selatan Pulau Howland. Apabila hubungan terputus sama sekali, pihak tentera laut Amerika Syarikat mula menjalankan operasi mencari tetapi tiada perkembangan positif diperolehi mengenai Amelia.
Amelia Earhart telah hilang. Atau benarkah sebegitu?
Pada masa Amelia melakukan penerbangan mengelilingi dunia itu, situasi diLautan Pasifik masih tegang berikutan tamatnya Perang Dunia Pertama. Jepun telah menguasai Kepulauan Mariana, Caroline dan Marshall, berdekatan kawasan yang dikawal Amerika Syarikat. Perjanjian yang ditandatangani antara Jepun dan Amerika Syarikat pada tahun 1923 telah melarang sebarang pembinaan kemudahan ketenteraan di pulau-pulau Pasifik, tetapi Jepun dikatakan telah menyanggahi perjanjian itu dengan membuat persediaan secara rahsia di pulau-pulau miliknya.
Amerika Syarikat dikatakan telah mengambil kesempatan di atas rancangan Amelia melakukan penerbangan mengelilingi dunia itu untuk membina beberapa kemudahan ketenteraan dipulau-pulau Pasifik dan mengujinya, dengan alasan untuk membantu penerbangan Amelia serta penerbangan komersial. Apabila Amelia hilang, tentera AmerikaSyarikat telah menjalankan operasi besar-besaran mencarinya hingga mengelilingi kawasan yang dikuasai Jepun, walaupun isyarat terakhir Amelia diterima dari kedudukan lain. Bahkan, ada yang mengatakan pihak tentera Amerika memperolehi maklumat penting dan gambar foto kemudahan-kemudahan tentera Jepun dipulau-pulau Pasifik.
Adakah penerbangan Amelia merupakan suatu konspirasi untuk membina kekuatan Amerika Syarikat di Pasifik, dan 'kehilangannya' telah dirancang rapi untuk memberi peluang merisik pulau-pulau yang dikuasai Jepun? Ya, ada yang mengatakan Amelia sebenarnya selamat sampai di Pulau Howland dan terus menyembunyikan diri sebagai sebahagian daripada strategi tentera Amerika.
Tetapi ada pula petunjuk yang menyatakan Amelia benar-benar telah menemui kecelakaan. Pada tahun 1944, iaitu semasa Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat telah memperolehi Kepulauan Marshall daripada Jepun. Di sana, mereka mendengar khabar daripada penduduk tempatan bahawa pada tahun 1937 dua orang juruterbang Amerika, seorang wanita dan seorang lelaki, telah dibawa ke pulau itu oleh tentera Jepun yang telah menahan mereka. Mereka kemudian dipindahkan ke penjara di Saipan, di Kepulauan Mariana. Wanita tersebut kelihatan seperti hilang semangat dan selepas dikurung dalam keadaan yang teruk, dia meninggal dunia akibat masalah kesihatan, sementara temannya yang lelaki itu pula telah dibunuh kerana tidak berupaya memberikan apa-apa maklumat penting kepada pihak Jepun.
Pada tahun 1964 pula, dua orang bekas marin Amerika mengatakan mereka telah menemui rangka Amelia Earhart dan Frederick Noonan di Saipan, kemudian membawa kedua-duanya pulang untuk dikebumikan di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun,pihak tentera Amerika Syarikat enggan mengesahkan mahupun menafikan cerita dua bekas askar ini.
Oleh itu, apakah yang sebenarnya berlaku di penghujung penerbangan kembara mengelilingi dunia Amelia? Adakah dia mengalami masalah untuk menentukan arah penerbangan lalu terhempas ke laut akibat kehabisan bahan api? Adakah dia terpaksa mendarat di pulau yang dikuasai Jepun, ditahan di penjara dan kemudiannya mati akibat layanan buruk? Atau adakah kehilangannya dirancang pihak tentera Amerika Syarikat sebagai alasan untuk membuat persiapan ketenteraan di Lautan Pasifik? |