View: 1684|Reply: 1
|
Dadah Disorok Dalam Kotak Rokok "Itu Ubat Sakit Kepala, Doktor Yang Bagi"
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Anggota polis menemukan beberapa paket pil disyaki dadah yang disembunyikan di dalam kotak rokok diletakkan di bahagian poket belakang seluar seorang lelaki dalam Op Halang di Dataran Merdeka.
Namun katanya, "Itu ubat sakit kepala. Doktor yang bagi sebab saya selalu sakit kepala," kata lelaki berusia 27 tahun itu.
Dia yang menunggang motosikal Yamaha 125LC itu kemudian cuba bertindak agresif untuk melarikan diri, namun berjaya dihalang anggota sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Foto: Harian Metro
Lelaki terbabit antara yang ditahan pihak berkuasa sepanjang operasi bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermula 11.30 malam.
Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd Hisham Izhar berkata, operasi dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan 80 anggota.
Beliau berkata, operasi dijalankan susulan aduan awam dan risikan yang dijalankan DBKL mendapati terdapat kenderaan diletakkan di kawasan menghalang kelancaran lalu lintas terutama pada hari minggu.
Menurutnya, pemeriksaan menumpukan kepada kesalahan lalu lintas dan penjaja tanpa lesen.
"Sejumlah 360 notis dan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas iaitu 207 saman dikeluarkan JPJ, manakala JSPT (86) dan DBKL (67).
"Antara kesalahan dikesan adalah tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, nombor plat 'fancy' serta menggunakan cermin gelap tidak mengikut spesifikasi ditetapkan," katanya pada sidang media operasi berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Hisham berkata, enam kenderaan penjaja turut disita DBKL kerana didapati berniaga tanpa lesen.
Beliau berkata, kenderaan yang disita dibawa ke stor simpanan untuk tindakan lanjut mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.
Tambahnya, operasi terbabit akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dengan tidak melakukan halangan lalu lintas, selain memastikan peniaga juga mematuhi peraturan ditetapkan. -CARI
Sumber: Harian Metro |
|
|
|
|
|
|
| |
|