|
KUNAK – Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun ditemui meninggal dunia di dalam sebuah rumah berkunci di Kunak Jaya, Lorong 5 petang semalam.
Mayat lelaki berkenaan ditemukan di dalam bilik dengan keadaan terduduk di kerusi oleh pasukan bomba.
Difahamkan, mangsa kali terakhir dilihat petang kelmarin.
Foto: Kosmo
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan membuka pintu rumah terkunci dan dilaporkan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri pada pukul 2.56 petang.
Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba membuka pintu rumah yang terkunci menggunakan peralatan khas dan menemui mangsa dalam keadaan duduk di kerusi di sebuah bilik.
“Mangsa seterusnya dibawa keluar dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala operasi ditamatkan pada pukul 5.46 petang. -CARI
Sumber: Kosmo |
|