|
Kuala Lumpur: Syarikat penyedia perkhidmatan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menafikan dakwaan pihaknya menaja umrah Abang Tesla dan dua isterinya.
Pengurusan tertinggi dalam kenyataan berkata, Abang Tesla atau nama sebenar Mohammad Khaliltizam Yusri dan keluarganya membayar sepenuhnya kos percutian dan umrah (Pakej Umrah Ziarah Istanbul Bursa) mereka sendiri.
Foto: IG
"Merujuk kepada laporan yang tular di media sosial. Syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd sebagai penyedia perkhidmatan umrah ingin menafikan dakwaan bahawa kami telah menaja umrah Abang Tesla dan rombongannya.
"Dakwaan ini adalah tidak benar. Abang Tesla dan keluarganya membayar sepenuhnya kos percutian & umrah (Pakej Umrah Ziarah Istanbul Bursa) mereka sendiri. Kami hanya menyediakan perkhidmatan pakej umrah ziarah kepada pelanggan kami yang ingin menunaikan umrah.
"Kami berharap dakwaan ini akan dapat dihentikan dan kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang telah timbul," katanya.
Menerusi akaun Facebook rasmi mereka memohon semua pihak dapat menghormati serta memberi ruang kepada Abang Tesla dan kedua isterinya menjalani perjalanan umrah dan ziarah Istanbul mereka bersama dengan tenang dan penuh kasih sayang.
"Kami juga memohon semua netizen sama-sama mendoakan mereka memperoleh umrah yang mabrur dan doa yang maqbul, insya-Allah.
"Kami juga berharap melalui notis pengesahan daripada pihak pengurusan tertinggi Andalusia Travel ini, semua kata-kata cemuhan yang kurang enak didengari di dalam sosial media akan dapat dihentikan serta merta.
"Kami memohon maaf atas sebarang keresahan serta kekeliruan yang timbul akibat dari salah faham yang dilaporkan," katanya.
Terdahulu, Abang Tesla memuat naik gambar bersama dua isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, bersama bagasi mereka menerusi hantaran di IG.
Berdasarkan kapsyen pada gambar itu, Abang Tesla menyatakan mereka akan bercuti di Turkiye dan menunaikan umrah bersama buat kali pertama. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|