|
Pelakon Farah Ahmad, 46, mengakui hubungannya dengan ibu mentua yang juga Seniwati Datuk Fauziah Nawi bertambah rapat selepas pemergian suaminya, Allahyarham Pitt Hanif, empat tahun lalu.
Farah berkata, dia bersyukur mempunyai ibu mentua sebaik Fauziah. Tidak hanya dirinya, malah arwah suami juga antara anak yang bertuah apabila Fauziah tidak putus mendoakan kesejahteraannya di alam barzakh.
"Ibu sememangnya rindu dengan anak sulung yang juga rakan gaduhnya. Tapi, saya nampak kehilangan arwah menaikkan darjatnya sebagai ibu.
"Saya bersyukur kebiasaannya bila suami meninggal dunia, terputuslah hubungan antara menantu dan mentua.
"Tapi, ia tidak berlaku pada kami, Alhamdulillah mungkin sebab kami ada produksi bersama. Ia lebih menambahkan kasih sayang antara kami dan ibu lebih 'caring' dan risau, terutamanya mengenai cucu-cucunya.
"Ibu pantang kalau ada orang yang cuit cucunya, dia akan serang dulu, tapi dalam Facebook.
"Jujurnya, saya dengan ibu okay sejak dahulu, tetapi sekarang lebih okay. Beliau memikul tanggungjawab sebagai ibu dengan baik dan menadah tangan mendoakan arwah anaknya, setiap hari.
"Arwah sangat bertuah sebab dia meninggal dunia ketika ibunya masih hidup. Arwah masih dapat doa ibu kerana selepas solat subuh ibu akan baca yasin untuknya tanpa putus, setiap hari," katanya kepada BH Online.
Justeru, Farah bersyukur mempunyai sistem sokongan yang kuat, di mana dia ada ibu mentuanya serta rakan-rakan arwah masih mengambil berat mengenainya dan tiga anak.
Sumber: BH Online |
|