Stesen TV Alhijrah menjadi satu-satunya stesen TV di Malaysia yang mengangkat aktiviti berzanji dan marhaban dalam sebuah program realiti terbaru berjudul Pentas Marhaban bermula 11 November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, pihaknya teruja kerana buat pertama kali mereka dapat memperkenalkan program realiti TV yang mengangkat seni suara warisan Islam sebagai hiburan kekeluargaan.
KETUA Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris bersama-sama peserta Pentas Marhaban ketika sidang media Pentas Marhaban di Hotel Tamu.
"Buat pertama kalinya di Malaysia, kita angkat aktiviti berzanji dan marhaban yang menjadi amalan tradisi masyarakat Melayu dalam majlis-majlis perkahwinan, berkhatan dan cukur jambul ke TV.
"entas Marhaban diterbitkan bagi memenuhi metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Malaysia Madani serta selari dengan tuntutan syarak. Ini secara jelas akan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang daripada aspek spiritual dan fizikal.
"Sebanyak 12 kumpulan marhaban akan bersaing secara sihat mengalunkan rangkaian puisi mengenai kisah Rasulullah SAW serta puji-pujian ke hadrat Ilahi yang disampaikan dengan iramanya yang tersendiri dengan penumpuan kepada tiga elemen utama iaitu Mawal, Marhaban dan Qasidah," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Realiti Pentas Marhaban di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Namanzee, semua 12 kumpulan yang terpilih dinilai berdasarkan kefasihan, kelunakan dan kreativiti persembahan yang terbaik.
Mereka terdiri daripada kumpulan Al-Muhtadin, Selawat Buskers, Soutun Nadwah, Al Maqari, Mawaddah, Qalbun Hadi, An Ni'matul Uzma, Shoutul Huffaz, Nurul Akhyar, Sinar Marhaban, Raudhatul Ashwaq dan Intracksee.
Mengangkat tema Hiburan Tradisi Nurani, program ini akan dihoskan Syamsul Ghau Ghau dan juara Akademi Qurra, Tilmiz Fahmi dan ia akan diadili stazah Asni Mansor dan ustaz Hafiz Gambus sepanjang lapan minggu bersiaran secara langsung di Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah.
Pentas Marhaban akan mula menemui penonton TV AlHijrah pada setiap Sabtu jam 9 malam bermula 11 November ini.
Sumber: Harian Metro |