Penyanyi, Azan Scan mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan pemuzik dari Singapura selepas percaturan bersama syarikat rakaman tempatan yang tidak berhasil.
Pemilik nama sebenar, Noorhazan Rashid, 51, memberitahu pertemuan dengan pemilik Guzzbuzz Production iaitu Bobb Ghazali memberi peluang untuk tampil dengan single terbaharu.
Pada pertemuan di Singapura, dia juga sempat menyerahkan dua buah demo lagu yang kemudiannya disiapkan oleh Bobb.
"Selepas saya pulang daripada membuat persembahan di Singapura, saya diperkenalkan dengan Bob. Pada mulanya hanya sembang-sembang kosong dan saya berikan dua lagu untuk dia dengar.
"Saya hanya nak dengar pendapat dia sama ada lagu itu okay atau tidak... Bukan suruh dia rekod tapi tiba-tiba keesokan harinya dia hantar semula lagu-lagu tersebut dengan susunan lengkap.
"Lagu berkenaan ada potensi dan Bob sendiri seorang pemuzik jadi kenapa tidak kami berkolaborasi," katanya kepada mStar.
Azan berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Pelancaran lagu–lagu Guzzbuzz Productions yang diadakan di Hotel Barakah Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Azan turut menyakinkan Bobb untuk melebarkan lagi kerjaya muziknya di Malaysia memandangkan penerbit dan penulis lagu itu sudah berpengalaman lebih enam tahun dalam industri seni di Singapura.
Menurut Azan, dia teruja apabila lagu-lagu yang diberikan kepada Bobb mendapat pujian peminat termasuk di Singapura.
"Apabila orang Singapura sendiri memberitahu lagu-lagu tersebut sedap didengar, jadi ia satu petanda baik buat saya.
"Saya katakan padanya kenapa tidak dia cuba untuk masuk pasaran Malaysia memandangkan dia juga sering berpatah balik dari Johor ke Singapura," ujarnya.
Pada tahun lalu, Azan bersama kumpulannya iaitu Scan melancarkan single berjudul Pandang Pertama iaitu projek khas bersama sebuah syarikat rakaman tempatan.
Pun begitu, Azan memberitahu dia tidak nampak sebarang usaha yang dilakukan oleh syarikat rakaman itu mempromosikan lagu berkenaan.
"Kita tahu syarikat rakaman itu mempunyai satu platform yang sangat baik tetapi apabila sudah melancarkan single baharu mereka tidak promosikan lagu tersebut.
"Kami jadi ralat kerana platform mereka besar... Saya lihat mereka memilih kalau artis boleh buat duit mereka akan dahulukan, kalau tidak memang tak buat apa-apa," katanya.
Menerusi kerjasama bersama Guzzbuzz Productions, Azan merakamkan dua single berjudul Kasih dan Selamat Hari Ulang Tahun iaitu lagu ciptaan untuk isterinya sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
Selain Azan, Guzzbuzz Productions turut memperkenalkan empat lagi penyanyi dibawah pengurusan mereka iaitu Akid Aly, General Ling, Z-Loco dan Ize Suliman.
Sumber: mStar |