Penyanyi, To'Ki memaklumkan dia sedang sibuk menguruskan proses pemindahan ke rumah sewa baharu yang terletak di Sentul, Kuala Lumpur.
Pemilik nama sebenar, Mohd Zaki Mansur, 58, itu berkata rumah dua bilik itu dibiayai sewa bulanan selama setahun oleh pihak Baitulmal.
"Alhamdulillah, saya bersyukur pihak Baitulmal sudi untuk membayarkan rumah sewa ini selama setahun.
"Selepas setahun nanti, saya akan membayar sewa rumah sendiri iaitu RM850 sebulan," katanya.
Dalam pada itu, To'Ki turut melakukan pengubahsuaian untuk menempatkan studio baharu bagi tujuan penghasilan lagu.
Katanya, kemudahan studio itu dapat memberikan keselesaan kepada mereka yang terlibat dalam pembabitan muzik di studio rakaman itu kelak.
"Sekarang, saya masih penat mengemas rumah. Saya terlampau letih sangat sebab nak pindahkan studio dari rumah lama itu bukan mudah.
"Saya mahu set up studio rakaman dengan baik. Tak mahulah kalau orang datang nanti nampak studio saya seperti studio kampung saja.
"Nanti yang datang ke studio saya itu penyanyi terkenal juga nak rakam lagu sebab itu saya mahu sediakan studio yang baik dan sempurna," katanya.
To'Ki turut memaklumkan tiada lagi isu membabitkan dirinya dengan pemilik rumah sewa sebelum ini dan segala salah faham antara mereka sudah diselesaikan dengan cara baik.
Sumber: mStar
|