|
Pelakon Diana Danielle menafikan dakwaan netizen dirinya kini mengandung anak ketiga sebaliknya tubuhnya nampak berisi kerana peningkatan berat badan sebanyak 10 kilogram ketika ini.
Menurut Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 32, dia kini memang dalam tempoh berselera untuk makan sejak Jun lalu dan perkara itu memang dilaluinya pada setiap tahun.
"Sebelum ini, saya memang susah untuk makan dan naik berat badan kerana seperti yang anda semua tahu mama dan anak saya, Aurora pun memang jenis kurus.
"Bukan saya sahaja, suami, Farid juga bertambah berat badan sehingga mencecah sebanyak 90 kilogram kerana pembantu rumah kami juga suka memasak apa sahaja di rumah.
"Cuma satu sahaja saya berasa terkilan kerana semua jeans sudah tidak muat dan sekarang hanya boleh pakai skirt dan kaftan," katanya ketika ditemui Harian Metro pada majlis pelancaran butik baharu jenama tempatan, Mimpi Kita di The Exchange TRX di sini, semalam.
Mengulas soal anak pula, kata Diana, dia masih belum bersedia untuk menambah anak kerana mahu memberi fokus pada dua anaknya yang semakin membesar.
"Saya faham niat baik orang yang bila nampak pasangan itu bahagia, mereka akan fikir sama ada saya sudah mengandung bila nampak berisi.
"Tapi hakikatnya, saya masih belum bersedia kerana Aurora baru sahaja berusia 8 tahun dan belum puas jadi anak bongsu," katanya.
Beralih soal rumah tangga pula, kata Diana, rumah tangganya bersama pelakon Farid Kamil atau nama sebenar Farid Kamil Zahari, 42, juga bahagia selepas mereka rujuk semula pada 31 Ogos lalu.
"Alhamdulillah, keputusan yang kami buat untuk rujuk semula juga berbaloi kerana anak-anak kembali ceria dan prestasi mereka dalam pelajaran juga meningkat di sekolah.
" ada masa sama, kami masih perbaiki segala kelemahan dan kekurangan diri masing-masing untuk kebahagiaan dalam rumah tangga setiap hari," katanya.
Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
Sumber: Harian Metro |
|