|
SELAGI menggalas status janda, selagi itulah pelakon jelita Nadia Brian akan terus dihambat persoalan berkaitan jodoh terutama ketika sambutan Syawal.
Tidak berkecil hati mahu pun ‘berkudis’ dengan soalan sedemikian, pemilik nama sebenar Nadia Najwa Mohamed Rashidi mengakui sudah cukup bahagia dikelilingi keluarga tercinta.
Kata Nadia, momen berhimpun dengan keluarga pada hari raya adalah suasana ditunggu-tunggu lantaran kesibukan masing-masing, selain jarak yang memisahkan.
“Raya tahun ini, saya masih lagi solo tetapi tidak mengapa, keluarga sudah cukup buat Syawal saya sempurna. Nikmat apa lagi yang kita nak dustakan.
“Walaupun saya balik raya di Sepang sahaja tetapi itulah momen yang dinantikan apabila dapat berkumpul beramai-ramai dengan adik-beradik.
“Saya memang bercuti dua minggu untuk beraya berhabis-habisan dengan keluarga sebelum kembali beraksi melakukan tugas hakiki sebagai pelakon,” jelasnya.
Aidilfitri setahun sekali, pelakon kelahiran Kangar, Perlis itu juga enggan berkira dalam berbelanja, sebaliknya berhabis-habisan demi meraikan hari raya serba sempurna.
Kita sudah berjuang sebulan dalam bulan Ramadan, tibanya Syawal, saya memang akan ‘all out’, baik dari segi persiapan mahu pun sambutan.
“Semuanya harus diraikan dengan meriah bagi menyambut hari kemenangan kita melawan hawa nafsu, selain menahan lapar dan dahaga.
“Tahun ini seperti sebelumnya, saya memang akan bersiap dengan busana mega bahkan kami akan bermekap cantik sebelum sesi bersalam-salaman, kita pula lawa macam mana pula,” selorohnya.
20 pasang baju raya
Mahu kemeriahan sepanjang cuti raya sama dirasai seperti raya pertama, pelakon bermata bundar itu menyediakan 20 pasang busana khas untuk menghadiri rumah terbuka mahupun melawat sanak-saudara terdekat.
“Orang kata elok bersederhana, bagi saya bulan puasa bolehlah tetapi tidak Syawal, ini adalah hari kemenangan bagi umat Islam, kenalah bersungguh-sungguh meraikannya.
“Sejujurnya baju raya saya ada hampir 20 pasang, memang setiap kali raya begitu, saya mahu semua gambar saya sepanjang bulan Syawal kelihatan cantik, kita orang perempuan, kenalah lawa!.
“Tiada istilah membazir sebab baju tersebut akan dipakai untuk deretan jemputan rumah terbuka dan melawat sanak-saudara,” katanya.
Seperkara lagi, Nadia tidak akan melepaskan peluang untuk bermesra dan bermanja dengan anak-anak saudaranya dengan melakukan pelbagai aktiviti pada malam raya.
“Malam raya memang saya suka buat aktiviti dengan anak buah, bergambar, buat biskut raya, main bunga api dan sebagainya, kita cipta momen manis dengan keluarga tercinta.
“Keluarga saya memang tahu setiap kali raya mereka kena bersedia melayan karenah saya untuk bergambar, bukan untuk orang lain, kenangan bersama juga.
“Kalau mereka bagi kerjasama, bertambahlah duit raya masing-masing,” ujarnya berseloroh.
Paling utama nasihat pelakon drama Lelaki Itu, setiap momen indah perlu diabadikan dalam bentuk video mahupun gambar supaya menjadi memori utuh ‘harta’ meniti hari tua kelak.
Sumber – HIGBLAM |
|