|
Penyerang Barcelona, Lamine Yamal (kiri) dibentes pemain tengah Real Madrid, Eduardo Camavinga ketika aksi Clasico di Santiago Bernabeu, Madrid awal pagi tadi. – Foto AFP
MADRID: Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez mengecam La Liga kerana tidak menggunakan teknologi garisan gol selepas pasukannya tumpas 3-2 pada aksi Clasico awal pagi tadi sekali gus membolehkan Real Madrid berada di ambang kejuaraan.
Jurulatih itu berang selepas percubaan Lamine Yamal didakwa Barcelona melepasi garisan gol tetapi tidak diberikan selepas pegawai gagal membuktikannya menggunakan VAR.
Ketika kedudukan terikat 1-1 Yamal dengan bijak menampan sepakan sudut ke arah gol dan penjaga gol Real Madrid, Andriy Lunin menolak bola keluar selepas ia kelihatan sudah melepasi garisan gol.
"Ia memalukan," kata Xavi, merungut mengenai teknologi yang digunakan di liga utama lain termasuk Liga Perdana Inggeris tetapi tidak ada di La Liga.
"Jika kami mahu menjadi liga terbaik di dunia, kami perlu lebih maju dari segi ini, anda perlu membawa masuk teknologi itu."
Penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen bersetuju dengan jurulatihnya.
Reaksi jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez selepas pasukannya dinafikan gol menentang Real Madrid pada aksi Clasico di Santiago Bernabeu, Madrid awal pagi tadi. – Foto REUTERS
"Ia memalukan buat bola sepak, saya tidak mempunyai kata-kata mengenainya," kata pemain antarabangsa Jerman itu.
"Ada terlalu banyak duit dalam dunia ini tetapi tiada wang bagi apa yang paling penting."
Gol kemenangan lewat jaringan Jude Bellingham menyaksikan juara bertahan Barcelona ketinggalan 11 mata di belakang Real Madrid dengan berbaki enam perlawanan.
"(Madrid) bertindak hebat dalam liga, mereka hanya kalah satu perlawanan, mereka semakin hampir menjuarainya," akui Xavi.
"Saya berasakan dengan cara kami bermain secara normal kami akan menang.
"Kami bersaing dengan sengit, saya fikir kami berhak dapat tiga mata." – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... gi-garisan-gol-xavi |
|