|
GAMBAR hiasan
Kuala Lumpur: Sebanyak 49 kertas siasatan berkaitan kes penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kerugian lebih RM6.8 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu direkodkan bermula 1 Januari sehingga 30 April lalu.
Menurutnya, berdasarkan modus operandinya, mangsa akan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa pegawai NSRC dan memaklumkan akan membatalkan nombor telefon mangsa ekoran terdapat aduan bahawa nombor mangsa digunakan dalam aktiviti penipuan.
"Untuk tujuan siasatan, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.
"Mangsa akan diminta mengikut segala arahan diberikan sehinggalah mangsa membuat pindahan wang ke akaun bank seperti ditetapkan dan seterusnya mengalami kerugian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan berbentuk komunikasi sehala sahaja.
Menurutnya, NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu.
Justeru, Ramli berkata, sebarang panggilan yang kononnya daripada pihak NSRC adalah satu penipuan.
"Bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan atas talian, PDRM menggesa mangsa yang terbabit segera menghubungi NSRC di talian 997 untuk melaporkan insiden berlaku.
"Sebaiknya panggilan dibuat dalam tempoh 24 jam supaya peluang untuk membuat sekatan terhadap wang dipindahkan lebih tinggi," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ian-lebih-rm68-juta |
|