CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2643|Reply: 0

[Tempatan] Belajar dari tragedi 13 Mei untuk perdamaian berkekalan

[Copy link]
Post time 13-5-2024 03:50 PM | Show all posts |Read mode
Belajar dari tragedi 13 Mei untuk perdamaian berkekalan

https://www.freemalaysiatoday.co ... damaian-berkekalan/

Aizat Shamsuddin
13 May 2024, 11:07 AM


Tragedi 13 Mei 1969 masih diingati sebagai salah satu detik tergelap dalam sejarah Malaysia.

Kerajaan perlu mencegah trend dan tindakan segelintir pihak yang cuba mengeksploitasi peristiwa hitam lampau itu.

Rusuhan yang meluas terutamanya di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, dan bandar-bandar lain di Semenanjung Malaysia telah meninggalkan luka mendalam terhadap generasi yang mengalaminya, menyumbang kepada sifat tidak percaya antara etnik pada hari ini.

Rekod rasmi melaporkan 143 orang Cina, 25 Melayu, 13 India, dan 15 lainnya terbunuh dalam rusuhan tersebut, dengan lebih daripada 400 orang tercedera. Laporan tidak rasmi pula menunjukkan jumlah kematian orang Cina adalah lebih tinggi.

Eksploitasi tragedi

Initiative to Promote Tolerance and Prevent Violence (Initiate.my) telah memerhati satu trend membimbangkan iaitu peningkatan ekstremisme berhaluan kanan di media sosial terutamanya di platform TikTok, yang mengeksploitasi tragedi 13 Mei.

Daripada pemerhatian ini, ada tiga penemuan penting.

Pertama, peristiwa politik seperti PRU15 menjadi pemicu peningkatan kebencian dan ekstremisme dalam talian. Peralihan kuasa dalam kalangan gabungan politik, bersama-sama dengan penyertaan penyokong berpengaruh daripada tokoh agama, selebriti, dan orang awam, memperkuat sentimen perkauman dan kebencian agama.

Hal ini terutamanya ketara di waktu pengiraan undi, di mana sebahagian besar kandungan mengeksploitasi tragedi 13 Mei tersebar untuk memberi amaran tentang kebangkitan semula Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh parti didominasi kaum Cina iaitu DAP, ke dalam kerajaan pusat, menggambarkannya sebagai ancaman terhadap kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam.

Kedua, ada penggunaan bahasa dan simbol yang bersifat kombatif dalam penyampaian naratif berbahaya ini.

Teks seperti ‘mod memburu’ dan ‘mencari yang halal’ menggambarkan kesediaan untuk memburu orang bukan Muslim, sering kali juga disertakan dengan imej-imej keris, anak panah, busur, dan/atau lagu-lagu yang menakutkan dan menghasut seruan jihad.

Walaupun bahasa yang digunakan mungkin tidak langsung atau disampaikan melalui inuendo, namun ia jelas bahawa dalam konteks yang tegang ini, ia merupakan seruan keganasan yang menjadikan minoriti etnik dan agama di negara ini sebagai sasaran.

Banyak kandungan ini telah diturunkan oleh TikTok selepas tekanan awam, dan polis telah memberi amaran supaya tidak ada lagi pengeluaran atau perkongsian semula kandungan sedemikian.

Ketiga, majoriti individu yang menyebarkan naratif berbahaya ini adalah golongan belia, berdasarkan butiran profil akaun mereka. Perkara ini menunjukkan bagaimana lebih ramai orang muda terdedah dan terlibat dengan kandungan politik selepas pelaksanaan #Undi18.

Pemain politik berhaluan kanan mengeksploitasi golongan muda ini untuk menghasilkan kandungan sedemikian, secara terancang dan memberi bayaran kepada mereka.

Walaupun pelaksanaan #Undi18 ini adalah baik, namun kekurangan pendidikan politik di Malaysia agak ketara, bagi memupuk kematangan politik dalam kalangan belia serta mencegah mereka daripada politik berunsur ketakutan dan berasaskan wang.

Secara keseluruhan, trend ini menyorot dua risiko: kandungan berbahaya ini boleh muncul semula semasa tempoh tegang yang lain, dan ia tidak terbatas hanya dalam ruang dalam talian.

Ini bermakna kesan radikalisme boleh melimpah ke dalam domain luar talian kerana platform dalam talian semakin menjadi pemangkin untuk radikalisasi. Hal ini boleh mengakibatkan perubahan kebencian kepada tindakan dalam bentuk diskriminasi, paksaan, bahkan keganasan.

Bagaimana untuk atasi

Trend-trend ini perlu dicegah daripada berkembang menjadi ekstremisme yang menjurus kepada keganasan. Kerajaan Madani harus memanfaatkan tahun-tahun berbaki sebelum PRU16.

Sekiranya kerajaan serius dalam mempromosi keharmonian dan keselamatan sosial, mereka harus mempertimbangkan dua cadangan berikut untuk mendorong negara ke arah perdamaian nasional:

Pertama sekali, perlunya kempen kesedaran meluas mengenai pengajaran yang boleh dipelajari daripada insiden 13 Mei. Ramai individu, terutamanya golongan muda yang tidak mempunyai memori langsung dengan peristiwa tersebut, tidak menyedari tentang krisis politik, sosial, dan ekonomi yang signifikan disebabkan oleh rusuhan yang berlaku dalam tempoh tersebut.

Dengan keadaan darurat telah diisytiharkan, polis dikerahkan untuk meredakan rusuhan, menguatkuasakan perintah berkurung, dan perniagaan dipaksa ditutup. Ratusan rakyat Malaysia telah kehilangan nyawa, dan kerosakan harta benda berleluasa.

Sesetengah maklumat, terutamanya mengenai sejauh mana kasualiti dan identiti penjenayah masih dirahsiakan daripada orang ramai atau dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana sensitivitinya yang mungkin boleh memburukkan lagi keadaan.

Namun, kerajaan harus mempertimbangkan semula untuk menyahklasifikasi maklumat tertentu untuk tujuan pendidikan, membolehkan penyelidik dan media mendokumentasi, melapor, dan menjalankan program pendidikan berkenaannya secara beretika.

Adalah penting untuk mengakui dan menjelaskan peristiwa tragis dalam sejarah ini berbanding menyembunyikannya bagi membina naratif pembinaan negara bangsa.

Jika tidak, pelaku jahat seperti puak ekstremis dan pengganas, akan terus mengeksploitasi kesenjangan maklumat ini dengan menimbulkan perasaan pemangsaan palsu bertujuan meradikalisasikan para penyokong mereka demi kepentingan politik.

Sebagai contoh, Jerman mempunyai program pendidikan nasional yang menyeluruh yang meneroka pengajaran yang boleh dipelajari daripada peristiwa Holocaust semasa era pemerintahan Nazi.

Begitu juga Singapura yang meraikan Hari Keharmonian Kaum setiap tahun sejak 1997, yang memberi pendidikan tentang pengajaran yang boleh dipelajari daripada rusuhan komunal pada tahun 1964.

Malaysia boleh meningkatkan inisiatif pendidikan yang serupa di kedua-dua peringkat komuniti dan institusi.

Perkara ini harus termasuk keterangan daripada pelbagai kaum yang telah terselamat serta mengiktiraf sumbangan angkatan tentera dan polis, seperti mereka yang terlibat dengan Persatuan Patriot Kebangsaan.

Kedua, pelaku ekstremisme ini pula harus bertanggungjawab atas tindakan mereka. Ia memerlukan tindakan sekatan kandungan secara berkadar terutamanya kandungan menimbulkan kebencian dan keganasan.

Walaupun sesetengah kandungan mungkin tidak secara terbuka menyokong keganasan, sebab itu analisis manusia masih penting untuk mentafsir kandungan mengikut konteks tertentu.

Unit penguatkuasaan di syarikat-syarikat media sosial dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) harus bergantung dan mengukuhkan kedua-dua kaedah moderasi kandungan termasuk kepakaran manusia dan kecerdasan buatan atau AI.

Individu yang menyebarkan ucapan kebencian dan hasutan keganasan secara terbuka harus dipertanggungjawabkan dengan lebih tegas, termasuk hukuman undang-undang.

Bagaimanapun, Initiate.my menggalakkan mekanisme keadilan restoratif, seperti permohonan maaf secara terbuka, proses mediasi dan dialog dengan pihak-pihak yang terlibat, untuk menanamkan rasa penyesalan yang berterusan dalam kalangan pelaku dan memupuk keredaan dalam komuniti terjejas.

Pendekatan ini adalah penting untuk mencapai perdamaian nasional yang lebih mampan.

Aizat Shamsuddin adalah penganalisis dan pengamal keselamatan yang memfokuskan ideologi serta jenayah dalam konteks Malaysia dan majoriti muslim.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic
Hanis Haizi Misqueen, Babutam, Nwantiti V79
syitaeyqaHanis Haizi Misqueen, Babutam, Nwantiti
Views : 274665 Replies : 6782
Saya sokong penuh koc wanita. Tapi yang bengangnya, koc wanita masih banyak kosong, ke koc jantan juga masuknya.Netizen kiciwa koc wanita tidak dimanfaat sepenuhnya
YgBenarSaya sokong penuh koc wanita. Tapi yang
Views : 24781 Replies : 19
Bumbung parking TRX bocor:Wanita Pemilik Kereta   Volkswagen Beetle   Terkena Air Sisa Makanan Ditawarkan Pakej Cucian Kereta Percuma Setahun.Kini dalam keadaan trauma.Hanya naik pengangkutan awam
YgBenarBumbung parking TRX bocor:Wanita Pemilik
Views : 15069 Replies : 32
Memakan belanja RM4,888 seorang murid,sekolah dinasihatkan berpada-pada dengan rombongan sambil belajar ke China
YgBenarMemakan belanja RM4,888 seorang murid,se
Views : 24498 Replies : 16
[KUIZ PERUBATAN MINGGUAN VOL. 7]: Mudah aje, ilmu harian! VOL.7
ipes2[KUIZ PERUBATAN MINGGUAN VOL. 7]: Mudah
Views : 106554 Replies : 2915
Orang Kota Bharu paling ramai dicekup terlibat judi online
ultra78Orang Kota Bharu paling ramai dicekup te
Views : 2783 Replies : 23
Bila bbnu nak tunjuk pandai
BoomibulatBila bbnu nak tunjuk pandai
Views : 20181 Replies : 94
Teka Teki Teka Tekok
FARRAZOOLTeka Teki Teka Tekok
Views : 27532 Replies : 113
Seorang abah 'tertinggalkan' anak dia..
RinInaSeorang abah 'tertinggalkan' ana
Views : 10576 Replies : 53
Resepi goreng pisang ringkas
BoomibulatResepi goreng pisang ringkas
Views : 10329 Replies : 89

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-6-2024 06:25 AM GMT+8 , Processed in 0.213282 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list