|
Gambar hiasan
PETALING JAYA – Pengguna di tujuh daerah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu
Selangor dan Kuala Selangor disaran untuk menyimpan bekalan air secukupnya ekoran gangguan berjadual bermula pukul 9 pagi esok.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berkata, gangguan bekalan air berjadual disebabkan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).
Ujarnya, kerja-kerja dijangka siap pada pukul 7 malam, esok (5 Jun) manakala para pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat bermula pukul 3 pagi, lusa (6 Jun).
“Pengguna akan mula menerima bekalan air apabila kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian aset siap, dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.
“Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 20 peratus pada pukul 3 petang, lusa (6 Jun) diikuti dengan 90 peratus pada pukul 3 pagi, Jumaat (7 Jun).
“Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada pukul 12 tengah hari, Jumaat (7 Jun),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Air Selangor, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
“Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Justeru itu, Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya.
Dalam pada itu, Air Selangor berkata bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas.
Jelasnya, bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estate (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat).
Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.
Selain itu pengguna boleh layari saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/06 ... -tujuh-daerah-esok/ |
|