|
LIMA individu termasuk dua peguam direman tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM316,064.33. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Melaka: Lima individu termasuk dua peguam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penawaran dan penerimaan wang rasuah daripada beberapa firma guaman di sekitar negeri ini berjumlah RM316,064.33.
Turut ditahan adalah dua pegawai bank bertugas di Petaling Jaya, Selangor serta cawangan di Melaka.
Selain itu seorang pengurus firma guaman turut ditahan kerana disyaki menerima wang suapan berkenaan antara 2018 hingga 2022.
Menurut sumber, suapan itu sebagai 'upah' membolehkan firma-firma guaman terbabit menerima pelanggan bagi urusan dokumentasi pinjaman hartanah daripada Institusi kewangan itu di Petaling Jaya, Selangor dan cawangan di Melaka.
Sumber berkata, kelima-lima suspek berusia 35 hingga 57 tahun termasuk seorang wanita ditahan sewaktu hadir di Pejabat SPRM Melaka antara jam 2 petang hingga 4 petang kelmarin bagi tujuan membantu siasatan kes itu.
Terdahulu, semua suspek termasuk dua peguam dari firma guaman berbeza dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, kira-kira jam 9 pagi menaiki kenderaan SPRM bagi perintah reman pagi tadi.
Mereka kemudian dihadapkan di hadapan Majistret Nabilah Nizam di Mahkamah Majistret 3 yang membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.
Dalam perkembangan sama, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas semua suspek dan memaklumkan siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... itahan-ambil-rasuah |
|