Alor Setar: Seorang juruteknik pendingin hawa yang melanggar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dipenjara 28 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini kerana memiliki motosikal curi, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Fikhri Amar
@ Omar, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.
Mengikut pertuduhan itu, tertuduh didakwa mencuri motosikal jenis Honda Wave di Kampung Telaga Batu, Mukim Limbong di sini pada jam 2.20 pagi, 6 Jun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Dia turut didenda masing-masing RM1,000 dan RM3,000 selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan anggota polis dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di jalan mini tar Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 3 pagi, hari yang sama.
Dalam pertuduhan di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan, dia didakwa melanggar mangsa dengan menggunakan motosikal jenis Yamaha Y15Z secara gopoh manakala kesalahan menghalang penjawat awam dikemukakan di bawah Seksyen 186 kanun sama.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha dan tertuduh diwakili peguam Saidina Khatijah Zaharah Khairulnisak Mohd Noor daripada Yayasan Guaman Bantuan Kebangsaan (YGBK).
Dalam pada itu di Mahkamah Sesyen, Mohd Fikhri juga mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada seorang lelaki menggunakan topi keledar.
Kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Teluk Kechai, Jalan Kuala Kedah pada jam 9.30 malam, 5 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Ruslan Usman manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, namun Hakim Jean Sharmila Jesudason menangguhkan hukuman sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
Mahkamah menetapkan 14 Julai ini untuk tujuan itu dan menawarkan jaminan RM20,000 serta dua penjamin selain melapor diri di balai polis terdekat.
Bagaimanapun tertuduh tidak membayar jaminan kerana dipenjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 379A.