|
PENYANYI Alvin Chong yang kini mahu dikenali sebagai ALVN menyifatkan selebriti terkenal Korea Selatan, Kang Min-hyuk sebagai individu yang merendah diri.
Alvn berkata, perkenalannya dengan pemain drum kumpulan CN Blue itu mula rapat selepas mereka duduk sebaris semasa menghadiri acara pertunjukan fesyen di Milan, Itali.
"Sebelum acara bermula, kami berborak hampir 30 minit. Ketika itu penguasaan bahasa Inggerisnya masih belum lancar jadi tidak dapat berbual banyak.
"Bagaimanapun, ketika itu kami sudah saling bertukar Instagram. Sejak itu kami rajin juga mesej dan berbual di aplikasi itu," katanya.
Alvn berkongsi mengenai persahabatannya bersama Min-hyuk yang mencuri perhatian ramai di Instagram.
Menurut Alvn, persahabatan mereka semakin rapat apabila bertemu sekali lagi di sebuah acara fesyen di Jakarta, Indonesia.
Sejak itu, Min-hyuk mengajak Alvn bertemunya memandangkan penyanyi itu bakal ke Korea Selatan untuk atas tujuan kerja.
"Sejak jumpa di Jakarta, dia ambil kelas bahasa Inggeris. Saya maklumkan akan pergi ke Korea Selatan dan dia cadangkan agar kami bertemu lagi dan lepak.
"Bila saya ke sana bulan lalu, dia ambil saya dengan keretanya dan bawa saya ke sebuah restoran Jepun serta kafe yang menjual pencuci mulut dan bagel kesukaannya.
"Ketika itu dia sudah selesa untuk bertutur dalam bahasa Inggeris," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kedai baru Illy Caffe di Hartamas, baru-baru ini.
Walaupun menyanyikan genre muzik yang berbeza, dia dan Min- hyuk bagaimanapun sering bertukar pandangan mengenai muzik.
"Saya ada tanya mengenai ruang bekerjasama dengan CN Blue, namun mereka tiada perancangan untuk itu.
"Cuma saya dan Min-hyuk saling bertukar lagu saya yang belum diterbitkan. Kami saling minta pandangan dan pendapat masing-masing.
"Genre muzik kami sangat berbeza, lagu-lagu saya akan datang jenis mudah didengar semasa memandu. Sangat ringan," katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram, Alvn berkongsi beberapa foto dan video menunjukkan keakrabannya bersama Min-hyuk.
Sumber : Harian Metro |
|