CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1151|Reply: 0

TV3, TikTok iktiraf pencipta kandungan tempatan

[Copy link]
Post time 28-7-2024 11:26 AM | Show all posts |Read mode


KUALA LUMPUR: TV3 dan TikTok menganjurkan TikTok Awards Malaysia 2024 yang bakal disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 11 Ogos ini.

Pengurus Besar Kandungan TV3, Marlia Zul Amran, berkata pihaknya berbesar hati menjadi platform utama menganjurkan TikTok Awards Malaysia untuk kali kedua bersama TikTok.

"Kerjasama ini akan mengeratkan lagi hubungan TV3 dan TikTok. Acara ini juga mengetengahkan peranan TV3 sebagai penyiar utama dan menampilkan kreativiti serta bakat luar biasa dalam komuniti TikTok.

"Acara ini bukan sahaja meraikan pencipta kandungan yang memberi inspirasi, malah, mencorakkan dunia digital kita.

"Projek ini seiring visi TV3 untuk membekal informasi, memberi inspirasi dan membawa hiburan serta menyiarkan kandungan segar serta inovatif kepada penonton.

"TV3 amat berterima kasih kepada semua penaja yang merealisasikan penganjuran acara ini," katanya pada majlis pelancaran dan sidang media TikTok Awards Malaysia 2024 di sini, Khamis lalu.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Rafiq Razali; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof serta Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Sementara itu, Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Anuar Fariz Fadzil berkata, dengan tema 'Realisasikan Impianmu', TikTok Awards Malaysia 2024 mampu memberi inspirasi kepada lebih ramai pencipta kandungan.

"Sebagai platform media sosial, 'Realisasikan Impianmu' adalah satu tema penting dan kami sentiasa berusaha untuk memberi inspirasi kepada masyarakat.

"Apa yang berbeza, tahun ini, kami memperkenalkan kategori baharu iaitu Changemaker of the Year di mana kriterianya adalah untuk mencari pencipta kandungan yang mampu memberi inspirasi dan perubahan positif kepada pengikut.

"Kami di TikTok pasti, semua orang ada telefon pintar. Sekarang, kami ada lebih sinergi untuk bekerjasama dengan platform yang lebih besar, iaitu TV3, sekali gus melebarkan sayap pencipta kandungan di TikTok," katanya.

TikTok Awards Malaysia 2024 menampilkan dua segmen utama iaitu Pilihan Juri (Judge's Pick) dan Pilihan Popular (People's Choice).

Bagi kategori Pilihan Juri, calon dipilih berdasarkan kriteria khas dan dinilai oleh panel eksekutif merangkumi pempengaruh popular, Khairul Aming; Pengurus Besar Operasi TikTok Asia Tenggara, Angga Anugrah Putra dan Nini.

Barisan panel ini akan menilai setiap pencipta kandungan dalam kategori masing-masing seperti hiburan, animasi, permainan, makanan, pendidikan, sukan, kecantikan dan fesyen.

Untuk Pilihan Popular, TikTok sekali lagi membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengundi pencipta kandungan kegemaran mereka.

Pengundian awam untuk lima kategori iaitu Creator of the Year, Celebrity of the Year, Video of the Year, TikTok LIVE Creator of the Year dan TikTok Shop Creator of the Year dibuka sejak Khamis lalu hingga 9 Ogos ini.

TikTok Awards Malaysia 2024 menampilkan Che Puan Sarimah Ibrahim dan Janna Nick sebagai pengacara utama manakala Ain Edruce dan Ceddy Ang menggalas tanggungjawab sebagai hos karpet merah.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-11-2024 07:14 AM GMT+8 , Processed in 0.057420 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list