CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1254|Reply: 0

‘Bukannya saya tak pernah berlakon dengan suami orang’

[Copy link]
Post time 28-7-2024 11:32 AM | Show all posts |Read mode




TENTUNYA timbul kekhuatiran dalam diri segelintir pelakon wanita apabila digandingkan dengan pelakon lelaki berstatus suami orang lebih-lebih lagi selepas kontroversi yang ditimbulkan pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies menggoncang dunia seni tanah air baru-baru ini.

Selepas insiden tersebut, pastinya ramai pelakon, lebih-lebih lagi yang bujang berfikir dua tiga kali sebelum menerima tawaran untuk bergandingan dengan pelakon berstatus isteri atau suami orang.

Bukan apa, mungkin takut terkait fitnah. Kadang, keakraban yang ditunjukkan kedua pihak tidak lebih atas nama persahabatan atau rakan sekerja, namun mata-mata yang memandang menganggap sebaliknya.

Bergandingan dengan pelakon berstatus suami orang, Shukri Yahaya dalam drama terbaru, Hai Cinta Dengarkanlah, pelakon cantik, Anna Jobling meletakkan garis profesionalisme dalam batas pergaulan di set penggambaran.

“Takut berlakon dengan suami orang? Tidaklah. Bukannya saya tak pernah berlakon dengan suami orang sebelum ini.

“Perkara ini sebenarnya mudah. Kalau kita tahu menjaga batas, tak timbullah masalah. Kita kena faham, kerja adalah kerja, tak boleh campur aduk dengan hal peribadi.

“Jadi, bersikap profesionallah. Dengan Shukri,atau mana-mana pelakon lelaki lain sekalipun, kalau off camera, kami buat hal masing-masing,” katanya ketika sesi bersama media baru-baru ini.

Anna memaklumkan, dia juga teliti dan tidak sewenang-wenangnya melakonkan babak intim, yang mana, kalau disalah tafsir boleh mencetuskan tanggapan atau spekulasi liar.

Justeru, pelakon berusia 23 tahun ini sebolehnya akan berbincang terlebih dahulu, mencari kesesuaian dalam melakonkan babak romantis.

“Tentang babak yang ‘mengundang’ ini, seeloknya saya bincangkan dahulu dengan pelakon atau pengarah. Dan itu jugalah yang kami buat untuk drama Hai Cinta Dengarkanlah.

“Kami sentiasa berkomunikasi, bincangkan apa yang kami selesa buat dan apa yang tidak,” jelasnya.

SEMAKIN MELEDAK DI INDONESIA
Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman adalah pelakon yang cukup bertuah, kerana disebabkan drama Melor Untuk Firdaus, namanya meledak di Indonesia.

Kejayaan drama itu membuka laluan kepada Anna untuk terus mencari tapak di negara seberang.

Perkara itu terbukti menerusi tawaran berlakon beberapa filem di Indonesia.

Anna bagaimanapun berpijak di bumi nyata, masih melihat suburnya padang di negara sendiri.

“Apa yang boleh saya ucapkan, Alhamdulillah. Ada beberapa filem Indonesia yang saya lakonkan, antaranya Laut Tengah yang selesai penggambaran kira-kira sebulan yang lalu.

“Banyak masa awal tahun ini saya habiskan di Indonesia. Sekarang saya alih tumpuan kepada penggambaran drama di Malaysia.

“Mungkin sekitar penghujung tahun ini saya akan terbang semula ke Indonesia untuk berlakon sebuah lagi filem,” kongsinya.

Mengenali Anna, pelakon ini meskipun mencipta nama di negara seberang, masih kenal erti batas dan menghormati kehormatan diri dengan mengelak melakonkan babak yang sensitif atau berlebihan.

“Kita semua tahu di Indonesia, mereka lebih terbuka. Sebab itu sebelum saya ambil satu-satu tawaran berlakon dari sana, saya akan semak terlebih dahulu babak dan pemakaian yang dituntut dalam naskhah tersebut.

“Saya selagi boleh memang akan elakkan babak-babak yang bersifat kontroversi. Alhamdulillah, setakat ini masih terkawal,” kongsinya.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-11-2024 07:55 AM GMT+8 , Processed in 0.369567 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list