LANGKAWI: Pulau peranginan ini menerima kemasukan 1.5 juta pelancong tempatan dan antarabangsa sehingga suku kedua tahun ini.
Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah, berkata angka itu menunjukkan Langkawi berada di landasan betul untuk mencapai sasaran tiga juta kemasukan pelancong menjelang akhir tahun ini.
"Sehingga Jun lalu, kita sudah menerima 1.5 juta kemasukan pelancong tempatan dan luar negara iaitu separuh daripada sasaran tiga juta pengunjung pada akhir tahun ini.
"Insya-Allah menerusi tiga lagi acara bertaraf antarabangsa iaitu Petronas Le Tour de Langkawi pada September, Ironman Malaysia & Ironman 70.3 Langkawi 2024 (Oktober) dan Langkawi International Half Marathon 2024 (Disember), sasaran itu diyakini dapat dicapai," katanya di sini.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Regata Sosial Pulau Rebak (RSPR) 2024 di Rebak Island Resort & Marina Langkawi (RIRML) di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Pengurus RIRML, Hafiz Hashim.
Mohamad Subhi berkata, acara dua hari yang berakhir petang semalam disertai 22 pasukan dari tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Australia, Belanda, New Zealand, Perancis, Jerman, Singapura dan tuan rumah, Malaysia.
Pada acara itu, pasukan Enavigo dari United Kingdom diketuai Steve Maine muncul juara kategori Monohull manakala pasukan Dark Horse dari New Zealand diketuai Nigel Signal mendominasi kategori Multihull.