Burung badut atau lebih dikenali sebagai White Bellied Caique (WBC) yang berasal daripada Bolivia dan Peru mempunyai tiga sub spesies iaitu Black Head Caique, White Bellied Caique dan Green Thighed Caique.
Malah, burung badut dewasa mampu mencapai berat sehingga 160 gram dan mempunyai jangka hayat antara 25 sehingga 30 tahun.
Burung ini tidak sesuai untuk terbang bebas (free flight) kerana memiliki ekor pendek dan kepak yang tidak lebar dan besar. Ia lebih sesuai untuk bermain dalam rumah sahaja
Biarpun tidak boleh bercakap, namun burung badut memiliki kemampuan meniru bunyi hon kereta atau wisel.
Selain itu, burung ini memiliki pelbagai warna bulu iaitu kuning, oren, hijau dan putih.
Menariknya, kombinasi warna ini seolah-olah burung ini menyerupai badut yang sedang memakai jaket berwarna hijau, baju (putih), seluar (kuning) dan topi (oren).
Keunikan yang dimiliki haiwan itu menarik perhatian peminat burung, Afiqah Rashid yang menjadikannya sebagai haiwan peliharaan.
Ibu tiga cahaya mata ini aktif memuat naik video gelagat dan aksi 'geli hati' burung badut yang dinamakan sebagai Joker melompat, terbaring di lantai sambil menggerakkan badan dan berkawad sehingga berjaya menarik perhatian warganet.
AFIQAH bersama burung peliharaannya.
Afiqah yang berasal dari Pulau Pinang berkata, sebelum memelihara burung badut, dia bermula dengan memelihara beberapa jenis burung termasuk Sun Conure, Green Cheek Conure, Monk Parakeet dan African Grey.
Pada Mac lalu, dia mengambil keputusan untuk menambah koleksi burung peliharaannya dengan memelihara burung badut.
"Burung ini dibeli daripada penternak yang sah kerana untuk memelihara, seseorang itu perlu memiliki lesen untuk menyimpan.
"Saya bermula dengan memelihara seekor burung dahulu kerana ingin mengetahui dan mengenal pasti karakter burung ini," katanya.
Menurutnya, keunikan burung badut adalah mudah mesra dengan pelbagai peringkat lapisan umur.
"Burung ini sangat aktif, suka melompat seperti kangaru dan berguling seperti kucing. Ia juga lebih banyak berjalan berbanding terbang untuk meneroka dan bermain.
ASPEK pemakanan burung perlu dititikberatkan.
"Apabila lapar dan ternampak pemiliknya, ia akan mengeluarkan bunyi yang agak kuat. Selain itu, burung ini sukakan perhatian orang di sekelilingnya dan lebih menarik, ia lebih mudah diajar untuk melakukan 'trick'," katanya.
Berkongsi berkenaan pemakanan burung badut, Afiqah berkata, setiap hari dia memberikan buah-buahan, sayuran, kekacang, bijirin dan pallet.
"Saya juga akan berikan telur sebagai sumber kalsium kepada burung badut," katanya.
Katanya, kebersihan sangkar burung perlu dititikberatkan untuk memberi keselesaan dan mengelakkan sebarang jangkitan penyakit.
"Setiap hari saya cuci najis di sangkar dan menukar air yang bersih. Seminggu sekali saya akan cuci keseluruhan sangkar.
"Burung perlu dimandikan setiap seminggu sekali untuk elakkan hama dan kutu sebelum dijemur di bawah cahaya matahari," katanya.
Afiqah menasihatkan kepada mereka yang berhasrat menjadikan burung badut sebagai haiwan peliharaan supaya membeli daripada penjual dan penternak yang sah.
"Peniaga yang sah akan mengeluarkan resit pembelian untuk anda mendaftar di Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya.
|