Tanam nanas jana hasil penjara
Oleh Nur Izzati Mohamad - Ogos 6, 2024 @ 8:28pm [email protected]

Mohd Rosimi (dua dari kiri) bersama Pegawai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Pulau Pinang, Norfarahin Jasmani (kiri) melihat projek penanaman nanas yang diusahakan warga Kompleks Penjara Seberang Perai di Sungai Jawi. - Foto NSTP/Danial Saad
NIBONG TEBAL: Projek penanaman nanas yang diusahakan warga Kompleks Penjara Seberang Perai di Sungai Jawi, di sini pada awalnya bertujuan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan penjara, kemudiannya beralih membawa kepada penjanaan ekonomi.
Inisiatif itu bermula sekitar tahun 2019 susulan terdapat cubaan menceroboh pagar penjara oleh pihak tidak bertanggungjawab. Keadaan ini mempengaruhi serta menjejaskan proses pemulihan prospek atau banduan yang sedang menjalani hukuman.
Inspektor Penjara Seberang Perai, Mohd Rosimi Idris, berkata pihak jabatan berperanan memastikan semua akhlak tahanan dapat dipulihkan semula sebelum mereka kembali kepada masyarakat apabila dibebaskan kelak.
"Kita amat mementingkan kawasan persekitaran penjara dikawal dengan rapi dan mengurangkan cubaan menceroboh pagar penjara oleh individu luar yang cuba (mengajak tahanan kembali membuat kesalahan).
"Ekoran itu, timbul idea untuk menanam nanas di sekeliling kawasan penjara. Usaha itu bukan sahaja melambatkan proses balingan (barang larangan) tetapi berjaya mengatasi sepenuhnya kegiatan ini apabila tanaman itu menyekat mereka (pihak tidak bertanggungjawab) berbuat demikian," katanya di sini, baru-baru ini.
Mengenai penanaman nanas itu, Mohd Rosimi yang juga penyelia projek berkenaan berkata, terdapat dua varieti nanas iaitu Moris dan MD2 ditanam di kawasan tanah penjara yang berkeluasan hampir 4.9 hektar.
"Penanaman dijalankan secara berperingkat dengan kepadatan 15,000 pokok (nanas) bagi setiap per ekar tanah.
"Dalam projek ini kita telah membabitkan 40 prospek (banduan) pada awal penanaman dibuat, sebelum ia berkurang kepada 10 ke 20 prospek pada satu-satu masa tanaman memandangkan teknologi yang telah berkembang.
"Namun, objektif kita membantu memulihkan prospek tetap berjalan apabila mereka yang terbabit dalam projek ini ditunggu oleh pihak pekebun nanas yang mahu menggajikan mereka sebaik keluar dari penjara," katanya yang turut memaklumkan projek terbabit juga membantu menjana pendapatan prospek ketika dalam penjara.
Kualiti buah dijaga
Mohd Rosimi berkata, meskipun tanaman nanas diusahakan oleh tahanan penjara, kualiti buah tetap dijaga dengan baik sehingga ia mendapat permintaan tinggi.
"Kita mendapat bantuan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang banyak menyokong termasuk memberikan geran dan peralatan perniagaan dalam memajukan projek ini.
"Setiap prospek (banduan) yang terbabit dalam projek ini dipilih dan diberikan latihan serta kursus oleh LPNM bagi membantu meningkatkan ilmu kemahiran mereka dalam bidang pertanian.

Warga Kompleks Penjara Seberang Perai di Sungai Jawi diajar proses penjagaan dan penanaman nanas dengan betul. - Foto NSTP/Danial Saad
"Hasilnya kita dapat menghasilkan kualiti buah nanas yang baik hingga tidak pernah berlaku lambakan buah. Kita juga berjaya menghasilkan produk hiliran berasaskan nanas terutamanya jus tanpa sebarang bahan pengawet," katanya.
Sementara itu, wakil Pegawai LPNM Pulau Pinang memaklumkan pada peringkat permulaan, LPNM hanya memberikan bantuan benih dan geran termasuk menganjurkan kursus modular kepada warga penjara termasuk prospek yang terbabit dalam projek berkenaan.
LPNM memulakan kerjasama ini dalam membantu prospek supaya mereka boleh diberikan peluang apabila mereka keluar dari penjara kelak.
Tambahnya, diharap projek penanaman nanas ini akan berterusan dalam memberi manfaat antara LPNM dan juga penjara.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1281406/tanam-nanas-jana-hasil-penjara
|