Butterworth: Sekumpulan penunggang motosikal dikesan menunggang secara melawan arus di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di Bagan Ajam, di sini, apabila video mereka tular di media sosial sejak semalam.
Video berdurasi 38 saat itu mendapati lorong kanan dan kiri lebuh raya berkenaan dipenuhi dengan penunggang motosikal hingga mengundang bahaya kepada pengguna lain.
Tindakan berbahaya terbabit dilakukan dipercayai bagi mengelak mereka diperiksa polis yang mengadakan Op Samseng Jalanan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya terkesan dengan video tular yang hasil siasatan mendapati ia berlaku ketika operasi kira-kira 7 malam pada Ahad lalu.
"Penunggang motosikal didapati menunggang secara bahaya dengan melawan arus di kawasan BORR dari arah Plaza Tol Bagan Ajam ke Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).
Ia adalah bagi mengelak mereka ditahan polis yang mengadakan operasi membanteras kegiatan samseng jalanan pada ketika itu," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, dalam operasi berkenaan, polis menahan seorang penunggang motosikal mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta menyita 25 motosikal atas pelbagai kesalahan.
"Kita mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya tidak bertindak di luar jangkaan yang akan mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya.