View: 8824|Reply: 0
|
Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS
[Copy link]
|
|
KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran peningkatannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal dagangan hari ini, didorong ketidaktentuan berkaitan dasar tarif import AS yang menjejaskan sentimen perniagaan dan pengguna, menurut penganalisis.
Pada jam 8 pagi, ringgit naik sebanyak 170 mata asas (pip) kepada 4.4100/4250 berbanding dolar AS daripada 4.4270/4320 yang dicatatkan pada akhir dagangan semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ketidaktentuan dasar itu mendorong firma dan isi rumah di AS untuk mengurangkan perbelanjaan, sekali gus berisiko memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara tersebut.
"Beberapa bank pelaburan utama di AS turut mempertimbangkan kemungkinan berlakunya kemelesetan susulan pelaksanaan tarif import berkenaan," katanya.
Di peringkat domestik, Mohd Afzanizam menjangkakan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus dalam mesyuarat hari ini.
"Apa yang lebih penting ialah penilaian terkini jawatankuasa itu terhadap keadaan ekonomi global serta hala tuju mereka mengenai prospek ekonomi bagi 2025," katanya kepada Bernama.
Beliau turut menjangkakan kadar USD/MYR berpotensi bergerak menghampiri paras sokongan semasa pada 4.37.
Sementara itu, prestasi ringgit berbanding mata wang utama lain menunjukkan kecenderungan bercampur-campur.
Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.9619/9722 daripada 2.9614/9647 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.6840/7034 daripada 5.6825/6889. Namun, mata wang tempatan itu meningkat berbanding euro kepada 4.6840/7034 daripada 4.7409/7462.
Dalam kalangan mata wang serantau, ringgit kebanyakannya mengukuh. Ia naik berbanding rupiah Indonesia kepada 270.3/271.3 daripada 271.3/271.8, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.72 daripada 7.72/7.73, serta meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1211/1767 daripada 13.1545/1756.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3128/3246 daripada 3.3126/3166 pada sesi sebelumnya.— BERNAMA
Sumber: BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|