Tukang gunting tak mengaku tipu tawaran kerja pramugari babitkan kerugian lebih RM300,000
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Ogos 8, 2024 @ 12:43pm [email protected]

Tukang gunting, Tan Chun Hooi, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memperdaya seorang wanita dengan menawarkan pekerjaan sebagai pramugari membabitkan kerugian RM358,015, tahun lalu.
GEORGETOWN: Seorang tukang gunting dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memperdaya seorang wanita dengan menawarkan pekerjaan sebagai pramugari membabitkan kerugian RM358,015 pada tahun lalu.
Tertuduh, Tan Chun Hooi, 37, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Siti Nurul Suhaila Baharin. Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan seorang wanita berusia 38 tahun untuk mempercayai bahawa dia berupaya mendapatkan pekerjaan sebagai pramugari Singapore Airlines sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM358,015 ke dalam akaun bank tertuduh.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut antara tarikh 3 Julai 2023 pada jam lebih kurang 10.15 malam hingga 15 Disember 2023 jam 6.39 petang bertempat di alamat 22, Lebuh Rama 7, Paya Terubong, Ayer Itam.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat selain boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ashraf Ali, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Yiew De Xien.
Nurul Atikah mencadangkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin namun peguam tertuduh memohon mahkamah mengurangkan kadar tersebut atas alasan tertuduh perlu menyara neneknya yang telah uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 12 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/08/1282033/tukang-gunting-tak-mengaku-tipu-tawaran-kerja-pramugari-babitkan-kerugian
|