JAWAI
BAU: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) memperluaskan kawasan pencarian seorang lelaki warganegara Indonesia yang dilaporkan hilang di Gunung Tabai di sini sejak 13 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kempas berkata, operasi bermula seawal jam 12.45 tengah hari tadi berdasarkan petunjuk baharu yang diterima berhubung kehilangan mangsa.
Menurutnya, operasi pencarian dilakukan ke dalam lubang sedalam 20 meter dipercayai laluan pelombong emas haram.
Jawai mendapatkan maklumat daripada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau Tawang Lingem serta anggota operasi lain di lokasi kejadian.
"Seramai empat orang terdiri daripada seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bersama seorang warga tempatan dan dua lagi lelaki warganegara Indonesia telah memasuki lubang tersebut.
"Bagaimanapun, setakat ini kita belum mendapat sebarang petunjuk mengenai keberadaan mangsa," katanya semasa ditemui pemberita hari ini.
Jawai berkata, dua lelaki warga asing yang menyertai operasi tersebut merupakan saudara mangsa.
Kawasan pencarian seorang lelaki warganegara Indonesia yang dilaporkan hilang di Gunung Tabai di Bau sejak 13 Ogos lalu.
Bercakap mengenai kehilangan mangsa, Jawai memberitahu pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa yang dikenali sebagai Yoga Anggiska, 26, berasal dari Kerinci, Indonesia pada 23 Ogos lalu.
Meskipun begitu katanya, operasi SAR tidak dapat dilakukan kerana belum ada maklumat atau saksi yang dapat memberitahu mengenai insiden sebenar yang menimpa mangsa.
"Kita tidak dapat memulakan SAR pada 23 Ogos apabila kita mendapat panggilan daripada Konsulat Indonesia kerana kita tiada saksi yang boleh memberitahu di mana lokasi mangsa mungkin hilang.
Lokasi operasi SAR mangsa di Gunung Tabai, Bau.
"Sehinggalah hari ini, setelah mendapat maklumat daripada warga tempatan yang mungkin boleh digunakan sebagai asas untuk kita memulakan operasi SAR mangsa," katanya.
Nemun demikian, operasi SAR tersebut terpaksa ditangguhkan sekitar jam 2.30 petang tadi disebabkan faktor cuaca dan keadaan yang tidak mengizinkan di kawasan pencarian.
Difahamkan, operasi SAR akan disambung semula esok.
Lokasi operasi SAR mangsa di Gunung Tabai, Bau.
Jawai turut memohon kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis dan menggugat ketenteraman awam.
"Orang ramai juga disarankan tidak menyebarkan sebarang berita tidak tepat di mana-mana media sosial," tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Colin Raape menerusi talian 017-8171750 atau mana-mana balai polis berhampiran.
|