LANCAR: Ewon melancarkan Penyukatan Tanah bagi Program PANTAS Kampung Togudon, di sini.
PENAMPANG: Pelancaran penyukatan tanah dalam Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) Kampung Togudon adalah hadiah terbaik sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, penyukatan tanah yang pertama dilaksanakan dalam daerah ini diharap akan diteruskan di kampung-kampung lain.
“Selaku wakil rakyat Penampang, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang bersetuju melaksanakan Program PANTAS di sini.
“Penyukatan tanah ini melibatkan keluasan 982 hektar ataupun sekitar 2,400 ekar yang dipohon kira-kira 500 penduduk kampung yang selama ini menantikan pemilikan tanah selepas kampung ini wujud sejak 1920-an.
“Penyukatan tanah dijangka selesai pada Mei 2025 dan geran-gerannya dijangka siap menjelang hujung tahun hadapan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Penyukatan Tanah bagi Program PANTAS Kampung Togudon, di sini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang yakin, dengan adanya pemilikan geran tanah akan memberi manfaat kepada penduduk kampung termasuk memudahkan mereka menerima bantuan kerajaan dalam pertanian serta keusahawanan
Beliau berkata, sebagai anggota kabinet kerajaan persekutuan, beliau akan memastikan Program PANTAS diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (2026-2030).
“Saya sudah membangkitkan perkara ini semasa perbincangan Pelan Transformasi Agenda Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh Perdana Menteri beberapa minggu lepas, dengan menyatakan pentingnya pemilikan tanah kepada pembangunan masyarakat bumiputera khususnya anak negeri di Sabah.
“Kabinet juga merekodkan pandangan saya dan saya akan terus berjuang supaya dalam RMK-13, peruntukan yang bersesuaian itu dapat disalurkan kepada Kerajaan Sabah khususnya kepada Jabatan Tanah dan Ukur,” katanya.
Ewon berkata, beliau akan memohon kepada Hajiji dan Jabatan Tanah dan Ukur supaya penyukatan tanah bagi Program PANTAS turut dilaksanakan di kampung lain di Penampang terutamanya kawasan yang berkecerunan tinggi.
“Ini juga antara tuntutan rakyat Penampang dan selaku wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah ini,” katanya.
|