MAUT: Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
RANAU: Seorang pendaki wanita yang mengalami hipotermia iaitu kesejukan melampau semasa dalam perjalanan menuruni Gunung Kinabalu disahkan meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada jam 11.24 pagi semasa mangsa berada di Kilometer 7.1 Sayat-Sayat (Conrad Labi), Gunung Kinabalu.
“Ketika kejadian, mangsa yang juga warga tempatan berumur 54 tahun itu berada dalam keadaan kesejukan dan lemah.
“Pasukan SAR Taman-Taman Sabah dan malim yang bertugas telah bertindak menghubungi dan memohon bantuan tambahan kakitangan Taman Sabah dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) bertugas untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, bertindak dengan kejadian, enam MOSAR digerakkan ke lokasi dan bantuan lanjut diberikan kepada mangsa di pusat rawatan Panalaban.
“Ketika itu mangsa masih tidak menunjukkan tindak balas positif selepas diberikan bantuan oksigen dan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR) dengan menggunakan bantuan peralatan defibrilator luaran automatik (AED).
“Disebabkan mangsa masih tidak sedarkan diri, mangsa diusung dan dibawa turun ke Pintu Timpohon dengan menggunakan "Neil Robertson strecher" oleh pasukan MOSAR serta di bantu oleh SAR HAT dan Malim.
“Sebaik tiba di Pintu Timpohon, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan pemeriksaan terhadap mangsa dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamat sepenuhnya pada jam 8.35 malam.
|