SABIN
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui DBKK Holdings Sdn Bhd memaklumkan bahawa warga Bandaraya Kota Kinabalu boleh mula memuat turun Aplikasi Sabah Smart Parking secara percuma menerusi Google Play (Android) atau Apps Store (iOS) bermula 9 September 2024 (Isnin).
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, penggunaan aplikasi Sabah Smart Parking ini akan berkuatkuasa pada 16 Oktober 2024, dengan menggantikan Sistem Tempat Letak kereta berkupon yang ada sekarang.
"Warga Bandaraya khususnya pengguna-pengguna ruang letak kereta awam di Bandaraya Kota Kinabalu ini disarankan agar mula memuat turun Aplikasi ini di Telefon Mudah Alih masing-masing.
"Melalui Aplikasi ini orang ramai boleh membuat pembayaran caj letak kereta awam di Bandaraya Kota Kinabalu.
"Disamping itu juga perkhidmatan lain seperti semakan tunggakan Kompaun, pembelian Pas Parkir Bulanan dan lain-lain juga turut disediakan melalui Aplikasi ini. "Cara-cara penggunaan juga turut disediakan dalam aplikasi ini," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Katanya, DBKK juga ingin memberi peringatan kepada warga Bandaraya agar terus mematuhi Undang-Undang Kecil yang dikuatkuasakan.
Katanya, pengguna yang masih mempunyai kupon fizikal (gores) masih boleh menggunakannya sehingga kupon itu habis digunakan.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh hubungi DBKK Holdings Sdn Bhd di Bahagian Pengurusan Tempat Letak Kereta melalui talian 088-270 181/182/ 012-7690181 atau mendapatkan maklumat di Kaunter-Kaunter/Kiosk Tempat Letak Kereta, DBKK Holding.
|