Edited by Vellfire at 1-9-2024 06:11 AM
KEMALANGAN: Keadaan van dinaiki mangsa selepas kemalangan.
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu terbalik di Jalan Tuaran, berhampiran Bandar Sierra, Manggatal, di sini, petang Jumaat.
Mangsa berumur 50 itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 petang.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah van terbabas sendiri dan terbalik di tepi jalan berkenaan.
"Terdapat seorang mangsa tersepit di dalam kenderaan dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Selepas memastikan tiada bahaya lain wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.30 petang," katanya.
|